Iklan

Masa untuk meremajakan Umno, kata ketua bahagian baharu

Mohd Farhan Darwis2 years ago6th Apr 2023Berita
Umno
Noor Hariri Mohamed Nor, 44 yang terpilih sebagai ketua Umno Pasir Mas pada pemilihan parti baru-baru ini berkata beliau rasa bertanggungjawab untuk memulihkan semula parti. – Gambar The Malaysian Insight, 6 April 2023.
Iklan

UMNO yang terus ditolak oleh pengundi termasuk orang Melayu pada pilihan raya umum yang lepas menjadi pencetus kepada sebahagian pimpinan akar umbi parti untuk meremajakan semula parti bermula dari peringkat paling bawah, kata beberapa ketua bahagian Umno yang baru dipilih.

Mereka yang menang pemilihan parti baru-baru ini berkata hasrat untuk membetulkan semula Umno adalah antara sebab utama mereka menawarkan diri untuk memimpin parti di peringkat bahagian.

Noor Hariri Mohamed Nor, 44, yang terpilih sebagai ketua Umno Pasir Mas berkata beliau rasa bertanggungjawab untuk memulihkan semula parti, bermula dengan bahagiannya sendiri.

“Untuk Pasir Mas rancangan pertama saya adalah untuk kembalikan keyakinan anak muda kembali kepada sokong Umno.

“Keduanya untuk kembalikan motivasi ahli di peringkat cawangan yang sedia maklum terkejut dengan keputusan PRU15, pada November lalu,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Noor Hariri adalah antara lapisan pimpinan muda Umno yang kini mengetuai hampir 30% atau 54 daripada keseluruhan 191 bahagian yang memilih ketua yang baharu.

“Saya nak bertanding ketua bahagian Pasir Mas untuk ambil cabaran meremajakan parti.

“Umno sekarang di trek yang betul untuk merejuvinasi parti apabila lebih 50 ketua bahagian adalah muka baharu, ada antaranya daripada kilang Pemuda Umno.

“Inilah proses peremajaan parti yang sedang diterima akar umbi,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Umno hanya menang 26 kerusi parlimen dan langsung tidak menang satu kerusi parlimen pun di tujuh negeri iaitu Perlis, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, dan Melaka.

Pada PRU14, Umno menang 54 kerusi Parlimen.

Umno dan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Putrajaya selepas membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta gabungan di Sabah dan Sarawak.

Lapisan pimpinan muda Umno mengetuai hampir 30% atau 54 daripada keseluruhan 191 bahagian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April 2023.

Menurut Noor Hariri, peremajaan Umno ini akan teruji pada pilihan raya negeri yang akan diadakan di enam negeri pertengahan tahun ini, termasuk Kelantan.

“Kita akan masuk pilihan raya negeri dalam keadaan berentap dengan kerajaan negeri yang sudah perintah selama 33 tahun.

“Ini mencabar tetapi sekurang-kurangnya kita hendak beri pilihan kepada rakyat Kelantan… beri peluang sepenggal untuk lihat apa Umno dan BN boleh buat untuk Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Fathul Bari Mat Jahaya, 42, yang terpilih mengetuai Umno Kangar mahu memastikan Umno kekal relevan di Perlis biarpun tiada satu kerusi pun baik di Parlimen mahupun di dewan undangan negeri.

Beliau juga mahu menjaga kebajikan ahli dan jentera parti selain mengemas kini pengurusan dan pentadbiran Umno Kangar supaya lebih teratur.

“Sebagai parti di negeri pembangkang, kita akan bawa naratif yang berbeza.

“Kita akan jadi pemantau tegar terhadap setiap tindakan dan keputusan kerajaan negeri,” katanya, yang juga kini timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Jelas Fathul Bahri, Umno Kangar akan memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri.

“Kita mahu jadi pengkritik dan pemerhati yang berfakta, bukan tanpa asas,” katanya.

Pada pemilihan Umno, beliau mengalahkan penyandang ketua Umno Kangar selama dua penggal sejak 2014, Azlan Man yang juga bekas menteri besar Perlis.

Pada PRU15, Azlan gagal mempertahankan kerusi DUN Bintong yang dimenanginya pada 2018.

Fathul Bahri melihat peralihan kepimpinan Umno di peringkat bahagian menunjukkan hasrat ahli parti di akar umbo yang mengharapkan pembaharuan.

Beliau berharap barisan pimpinan baharu diberi peluang untuk menguruskan parti dengan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak.

“Berikan laluan kepada orang baharu mentadbir, contohnya janganlah kacau, jangan huru-harakan keadaan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar setuju perubahan kepimpinan Umno di peringkat bahagian mencerminkan kehendak akar umbi parti selepas prestasi buruk pada PRU15.

Beliau bagaimanapun tidak melihat perubahan itu akan  memberi kesan besar kepada Umno.

“Rakyat biasa melihat pucuk pimpinan utama Umno tidak berubah walaupun 30 peratus ketua bahagian bertukar.

“Itu cabaran Umno sekarang. Cabarannya bukan pada ketua bahagian yang baharu tetapi pucuk pimpinan tertinggi, presiden dan pasukan dalam Majlis Kerja Tertinggi,” katanya.

Umno tidak mempertandingkan dua jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan baru-baru ini.

“Polisi pucuk pimpinan yang sebenarnya berikan refleksi kepada Umno. Ketua bahagian membawa hala tuju yang ditetapkan presiden dan pasukannya. Perubahan itu tak signifikan.

“Walaupun bertukar ketua bahagian tetapi ada yang kata sesetengahnya tetap orang presiden bagi memastikan kelancaran dalam Umno dan tiada unsur mengganggu proses Umno membuat pemulihan terhadap parti mereka,” katanya.– 6 April, 2023.

Iklan
Iklan