Iklan

Negeri Sembilan negeri pilihan utama Pakatan, kata Mohamad Sabu

Melati A. JalilYasmin Ramlan7 years ago18th Mar 2018Berita
Mohamad sabu 180318 tmiseth 02
Kami akan ambil alih (Negeri Sembilan) selain kekalkan Selangor dan Pulau Pinang, kata timbalan presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Mac, 2018.
Iklan

NEGERI Sembilan bakal menjadi negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang seterusnya, kata timbalan presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga merupakan presiden Amanah berkata, ini berikutan peningkatan penyokong Melayu terhadap PH, terutamanya dengan kehadiran pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad.

“Negeri Sembilan adalah ‘front state’ yang kami ‘target.’ Kami akan ambil alih selain kekalkan Selangor dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan hari ini di Senawang.

Antara pimpinan yang turut bersama adalah presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden PH Mukhriz Mahathir dan ketua DAP negeri Anthony Loke.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu mengakui, pada pilihan raya umum yang lalu sokongan dari kaum Melayu menurun disebabkan isu perkauman yang dimainkan oleh pihak Barisan Nasional (BN).

“Tetapi sekarang dengan perpaduan empat parti, kehadiran Tun Mahathir, kita nampak rata-rata orang Melayu bersama dengan PH. Bahkan yang paling ketara di Felda,” katanya.

Pada PRU13, DAP menang 11 kerusi sementara PKR 3 kerusi. Manakala di pihak BN, Umno menang 21 kerusi dan MIC 1. Bagaimanapun, bilangan kerusi Umno berkurangan selepas Adun Lenggeng Ishak Ismail meninggal dunia kerana serangan jantung Julai lalu.

Bagaimanapun, Mat Sabu berkata calon menteri besar di negeri itu masih belum diputuskan oleh pimpinan PH.

Katanya, apa yang lebih menjadi keutamaan adalah gerak kerja di negeri itu.

Pada Januari, ketua setiausaha PH Saifuddin Abdullah mengumumkan, daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, PKR akan bertanding di 12 kerusi, DAP 11 kerusi, Amanah 7 dan Bersatu 6.

Pengagihan itu tidak disenangi beberapa pemimpin Bersatu negeri. Kira-kira 40 ahli Bersatu menunjuk perasaan di konvensyen PH Negeri Sembilan semasa Dr Wan Azizah menggulung ucapannya. – 18 Mac, 2018.

Iklan
Iklan