Iklan

Tindak tanduk Umno tidak gugat kerajaan perpaduan, kata akar umbi PKR

Mohd Farhan Darwis2 years ago10th Apr 2023Berita
Parliament ahmad zahid hamidi anwar ibrahim
Kebelakangan ini beberapa keputusan Umno dan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengundang kritikan termasuk lantikan politik ke dalam GLC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2023.
Iklan

KEPUTUSAN serta tindakan Umno dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi sejak kebelakangan ini yang menjadi perhatian dan kritikan umum tidak menjejaskan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata pemimpin akar umbi PKR.

Kerajaan perpaduan mampu bertahan selagi isu yang timbul bukan berkaitan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa, kata mereka.

Mereka ditanya tentang pelantikan beberapa pemimpin Umno menerajui agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya nama-nama kontroversial antaranya bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilantik Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Umno juga baru-baru ini menggerakkan pertukaran pentadbiran di Melaka apabila bekas ketua menterinya Sulaiman Md Ali letak jawatan dan diganti pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Minggu lalu pula Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pengampunan diraja ke atas bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor Adzman Kamaruddin berkata soal lantikan pimpinan Umno dalam agensi dan GLC bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah adalah prerogatif Ahmad Zahid sebagai menteri.

“Pelantikan itu dibuat dibawah kementerian beliau dan kita tak campur tangan, melainkan jika ada yang minta lantikan dibuat di bawah kementerian diketuai PKR, jadi tidak ganggu kerajaan perpaduan.

“Itu urusan parti lain dengan lantikan dibuat Ahmad Zahid yang juga atas kapasiti beliau sebagai presiden Umno,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Ahmad Zahid juga melantik Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat atau Mara dan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob menerajui semula Felcra.

Beliau juga melantik bekas Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad sebagai pengerusi Risda.

Mempertahankan keputusannya, Ahmad Zahid berkata lantikan bawah kementeriannya itu dalam pengetahuan dan melalui tapisan sekretariat kerajaan perpaduan,sebelum ia dimuktamadkan.

Menurut Adzman, PKR tidak berhasrat mencampuri urusan dalaman Umno walaupun mereka membentuk sebahagian komponen kerajaan perpaduan.

“Bagi kami di peringkat PKR, ia dibuat sebagai prerogatif presiden Umno, kita tak campur soal parti lain.

“Namun begitu, isu-isu seperti itu dijamin tidak menganggu urusan persediaan kita untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Mengenai pengampunan ke atas Najib, Adzman berpendapat ia kuasa itu terletak pada lembaga pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, permohonan Umno itu tidak menekan Anwar biarpun beliau sebahagian daripada anggota lembaga berkenaan.

Anwar berada dalam lembaga itu atas kedudukannya sebagai menteri bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi PKR yang enggan disebut namanya berkata Najib berhak memohon pengampunan sebagai orang yang sudah dijatuhi hukuman bersalah. 

“Itu terserah kepada jawatankuasa panel pengampunan diraja untuk tentukan namun adalah menjadi hak Najib untuk mohon pengampunan,” katanya 

Beliau bagaimanapun menegaskan, kerajaan perpaduan tidak akan bertoleransi sekiranya isu penyelewengan berlaku.

“Selagi mana kerajaan ini dipimpin oleh perdana menteri yang baik seperti Anwar saya rasa benda itu tidak mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Setakat ini saya tak nampak sebarang isu kecuali jika mereka melakukan sebarang penyelewengan…itu ada kesan. 

“Tapi kerajaan perpaduan sekarang tidak bertoleransi langsung dengan penyelewengan,” katanya.

Mengenai perubahan kepimpinan di Melaka, pemimpin PKR itu melihat ia lebih mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan melalui penyertaan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan negeri.

Ab Rauf mengumumkan pelantikan 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri atau exco dan 10 timbalan.

“Setakat ini tak nampak akan mengganggu perjalanan untuk PRN tapi akan memperkuatkan lagi kedudukan kerajaan perpaduan,” katanya.

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali juga merasakan kerajaan perpaduan tidak terjejas dengan beberapa tindakan Umno itu.

Malah katanya, kerjasama antara PH dan Umno dalam kerajaan juga membolehkan Anwar melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam pentadbiran kerajaan.

“Rakyat sekarang sudah tak kisah dengan politik kepartian, janji rakyat boleh hidup malah sekarang ini kita lihat kerajaan perpaduan lagi mantap.

“Melaka dapat kerajaan baharu, daripada satu parti dah jadi kerajaan perpaduan.

“Anwar juga kena jaga hubungan dengan Umno, bersama GPS yang membentuk kerajaan perpaduan kerana dengan adanya mereka Anwar boleh buat reformasi (dalam kerajaan),” katanya.

Mengulas isu pengampunan diraja oleh Najib, Mazlan berkata hasrat itu harus dihormati kerana sebagai rakyat Najib berhak membuat permohonan itu.

“Pada pandangan Umno, Najib adalah pemimpin banyak jasa. Pada pandangan Umno walaupun Najib ada kes tetapi beliau dianggap berjasa kerana pernah menjadi perdana menteri.

“Bagi Umno, itu pandangan dia. Orang yang tidak setuju tidak nampak, tidak ada jaminan juga kalau Umno mohon (akan lulus) kerana yang akan memutuskan adalah Yang di-Pertuan Agong tertakluk nasihat Lembaga Pengampunan,” katanya.

Jelas Mazlan, permohonan Najib dijamin sistem demokrasi dan sekiranya dihalang ia akan menafikan hak rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan. 

Anwar dalam reaksi awalnya berkata tidak wujud konflik kepentingan hanya kerana beliau terlibat dalam proses pengampunan Najib. – 10 April, 2023.

Iklan
Iklan