Iklan

Mansuh hukuman mati mandatori tidak adil bagi keluarga mangsa, kata Ummah

Aminuddin yahaya pembela file pic
Jurucakap Gerakan Pembela Ummah Aminuddin Yahaya berkata pemansuhan hukuman mati mandatori tidak memberi keadilan yang sewajarnya bagi keluarga mangsa kes bunuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April 2023.
Iklan

PEMANSUHAN hukuman mati mandatori ke atas pembunuh tidak adil kepada ahli keluarga mangsa, kata Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Ia tidak memberi keadilan yang sewajarnya walaupun hakim diberi pilihan menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman mati bagi kes-kes jenayah tertentu, kata jurucakap Ummah, Aminuddin Yahaya.

“Mereka (ahli keluarga) hilang orang tersayang dengan cara yang sangat kejam. Mangsa dibunuh, dibakar, dikerat, malah ada yang dirogol sebelum dibunuh tanpa belas kasihan.

“Sekarang kita hendak selamatkan pembunuh daripada hukuman mati selepas apa yang telah mereka buat? Bukankan ini tidak adil kepada keluarga mangsa? Bagaimanakah perasaan mereka bila melihat pembunuh anak mereka bebas selepas dihukum penjara 20 atau 30 tahun?” soal Aminuddin.

Rang undang-undang (RUU) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat melalui undian suara pada 3 April lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh  berkata RUU itu bercadang untuk memberi hakim kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman dan membenarkan hakim pilihan untuk mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun sebagai ganti hukuman mati mandatori.

Ramkarpal berkata adalah penting untuk memansuhkan hukuman mati mandatori memihak kepada hukuman alternatif kerana hukuman mati itu “tidak boleh diterbalikkan”.

Pemansuhan hukuman mati mandatori juga dicadangkan oleh kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada tahun lepas sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Moratorium pelaksanaan hukuman mati bermula sejak 2018.

Mengulas mengenai budi bicara hakim, Aminuddin percaya kebanyakan hakim tidak akan menjatuhkan hukuman mati ke atas penjenayah yang disabitkan bersalah.

“Para hakim sudah ‘dicuci otak’ supaya tidak jatuhkan hukuman mati bagi kes yang serius.

“Walaupun mereka dibenarkan guna budi bicara, saya percaya hakim tidak akan berbuat demikian. Jika seseorang dijatuhi hukuman penjara 40 tahun, maksimum yang dia dapat ialah 20 tahun. Jika berkelakuan baik dan diberi parol, dia boleh bebas awal.

“Sudah tentu keluarga penjenayah ini akan lega kerana anak mereka masih hidup, tapi bagaimana dengan keluarga mangsa? Adakah mereka akan gembira atau berpuas hati dengan keputusan hakim? Saya rasa tidak,” katanya.

Tambah Aminuddin, hukuman mati perlu untuk menanam rasa takut dan gerun kepada orang ramai untuk melakukan jenayah.

“Sekarang penjenayah tak akan takut lagi kerana mereka tahu kalau bunuh orang pun mereka hanya akan dihukum penjara, bukan hukuman mati.

“Jadi apa yang boleh menghalang penjenayah daripada menjadi lebih kejam?” soalnya. – 11 April 2023. 

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan