Ahli akademik mahu bahan kempen antirokok dalam bahasa Cina
Iklan
BAHAN Program IMFree yang dilancarkan bagi membanteras gejala merokok dalam kalangan murid sekolah rendah perlu juga disediakan dalam bahasa Mandarin bagi memudahkan sekolah Cina memasukkannya dalam kurikulum mereka, kata ahli akademik.
Setakat ini bahan kempen itu hanya tersedia dalam Bahasa Melayu.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Besar Kebangsaan Malaysia Chuah Soo Cheng berkata memiliki bahan kempen dalam Mandarin sesuatu yang ideal memandangkan terdapat kira-kira 1,300 sekolah rendah Cina di seluruh negara.
Katanya versi Mandarin memudahkan murid Tahun 1 hingga Tahun 3 lebih memahami tujuan sebenar program tersebut.
“Program ini untuk sampaikan kepada murid-murid yang merokok bukan saja dilarang ketika mereka di sekolah tapi juga ia membahayakan kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kata Chuah terjemahan dalam Mandarin akan membantu murid berusia 7 tahun hingga 9 tahun untuk memahami kempen tersebut memandangkan Bahasa Melayu mereka masih belum fasih.
Beliau juga menggesa ibu bapa memainkan peranan dalam mencegah anak mereka yang bersekolah daripada terjebak dengan tabiat merokok.
Katanya ibu bapa merupakan kunci kepada banyak program dan kempen seperti IMFree ini yang bertujuan menghalang pelajar terjebak dalam tabiat merokok kerana mereka mempunyai pengaruh besar terhadap pelakuan anak-anak masing-masing.
Menurut Chuah sekolah boleh menyediakan sokongan, bimbingan dan sumber yang sewajarnya termasuk sesi perkongsian pada mesyuarat ibu bapa dan guru, menyediakan sumber serta informasi terkini tentang merokok kepada ibu bapa di laman web sekolah ataupun menghubungkan ibu bapa dengan pihak kesihatan untuk membantu mereka lebih memahami bahaya merokok.
Katanya pendedahan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni yang menyebut 43,019 pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini terlibat dengan tabiat merokok sesuatu yang membimbangkan. – 13 April, 2023.
Berita penuh di sini.