Iklan

Janji, prestasi Anwar antara isu PRN Kelantan, kata pemimpin akar umbi

Diyana Ibrahim2 years ago13th Apr 2023Berita
Kota Bharu 160821
Penduduk Kelantan ingin melihat adakah janji yang ditabur Anwar semasa PRU15 akan dilaksanakan atau hanya sekadar retorik semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2023.
Iklan

PRESTASI kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim dijangka paling mendapat perhatian dalam dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, kata pemimpin akar umbi parti.

Rakyat Kelantan ingin melihat adakah janji-janji yang ditabur Anwar semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dilaksanakan atau hanya sekadar retorik semata-mata, kata mereka.

Di kem kerajaan perpaduan ini, isu seperti agihan jawatan selepas membentuk kerajaan dan peluang bertanding PRN juga dikesan membibitkan ketegangan dan berpotensi membawa krisis.

Seorang timbalan ketua bahagian Umno di Kelantan antara lain menjangka lawan dari PAS akan membangkitkan isu pelaksanaan hudud dan royalti minyak.

“Selain itu isu peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan, anak muda antara isu yang selalu dimainkan tidak kira dalam PRN atau PRU,” katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, isu-isu tersebut boleh menjadi kelebihan atau kelemahan kepada mana-mana parti sekali pun.

“Kalau isu semasa, prestasi kerajaan perpaduan yang ini sudah pasti Perikatan Nasional (PN) akan guna ini untuk menyerang kerajaan.

“Dan kerajaan campuran ini lebih kepada bertahan menangkis serangan daripada PN. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Kelantan dan juga Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu sepakat membubarkan DUN  ketika tempoh dua minggu terakhir Jun depan bagi mengadakan PRN.

PAS meneruskan penguasaannya di Kelantan apabila memenangi 37 kerusi daripada 45 kerusi DUN dalam PRU14.

BN yang kini sebahagian dari kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan hanya menang 10 kerusi DUN dalam pilihan raya Mei 2018 itu.

Mengulas lanjut,  pemimpin Umno tersebut memberiahu The Malaysian Insight reaksi rakyat Kelantan ke atas prestasi kerajaan perpaduan setakat ini tidak begitu memberangsangkan.

Beliau berkata ramai yang meluahkan kekecewaan berhubung prestasi kerajaan termasuk daripada ahli parti sendiri.

“Bagi dalaman Umno terutama barisan hadapan mereka tidak berpuas hati dengan komposisi jawatan yang diberikan. Mereka rasakan seperti tidak adil di situ.

“Kalau penyokong parti Umno ini mereka berpegang kepada janji Anwar contoh seperti isu janji turunkan harga minyak apabila menang dalam PRU.

“Bagi rakyat biasa atau pengundi mereka masih tidak lihat pentadbiran Anwar ini ada faktor wownya lagi,” katanya.

Beliau tidak menolak situasi tersebut menyebabkan peluang tipis bagi BN dan PH untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRN di Kelantan.

Malah untuk mempertahankan kerusi sedia ada juga dilihat amat sukar buat BN biarpun dengan kerjasama bersama PH.

Pemimpin akar umbi berkata prestasi Anwar Ibrahim dijangka akan mendapat perhatian dalam PRN Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2023.

“Kalau di Kelantan kerusi yang BN ada pun boleh tumbang. Jangkaan mereka kata nak menang saya rasa sangat mustahil.

“Misalnya di kerusi Dewan Undangan Negeri Kok lanas yang dipegang Md Alwi Che Ahmad. Beliau dah tak ada sebab untuk menang lagi,” katanya.

Faktor bekas pemimpin Umno, Annuar Musa yang dikatakan akan menyertai PAS juga menjadikan peluang BN dan PH akan menjadi sukar kerana pengaruh besar pemimpin tersebut, tambahnya.

Antara lain beliau juga membayangkan kerjasama BN dan PH akan berdepan masalah dalam hal melibatkan rundingan kerusi.

Beliau mendakwa sudah ada ura-ura kedua-dua pihak berebut kerusi dan enggan mengalah biarpun tidak semestinya boleh menang di kawasan tersebut.

“Saya dengar masing-masing sudah meletakkan syarat yang sepatutnya tidak berlaku.

“Kalau bab rundingan kerusi ini asas yang kita tengok adalah data atau fakta berdasarkan trend undi dan sokong dalam pilihan raya lepas.

“Barulah ada konsensus yang baik. Tapi kalau semua nak tanya memikirkan faktor tersebut memang jawabnya akan berlaku krisis lah nanti dan kesannya kalahlah kita,” katanya.

Selain itu, turut menjadi perhatian isu kompromi Anwar yang membolehkan pemimpin berdepan tuduhan rasuah menyertai kerajaan untuk membolehkannya berkuasa.

Ketua Bahagian Bersatu Pasir Mas Che Johan Che Pa menjangka isu itu paling banyak berlegar dalam kempen PRN dan akan menyebabkan rakyat Kelantan lebih menolak PH dan BN.

Che Johan turut mengakui ia akan menjadi kelebihan buat PN untuk mengulangi kejayaan seperti mana semasa PRU 15 pada PRN kali ini.

“BN dengan PH memang tidak boleh lawan PN di Kelantan sebab arus rakyat yang menyokong sangat kuat. Momentum semasa PRU15 tidak berkurang sedikit pun,” katanya.

Malah, timbul trend baharu bagi pengundi luar Kelantan yang bekerja di Selangor dan Negeri Sembilan memilih mengundi di negeri itu kali ini bagi memenangkan PN di dua negeri tersebut.

“Sentimen ini bukan yang dicipta tapi ini semangat asal dari rakyat Kelantan. Sebab saya sendiri terkejut bila dengar mereka mengaku sudah tidak mahu balik mengundi di Kelantan.

“Alasanya kedudukan PAS dan PN sudah cukup kukuh di Kelantan dengan majoriti pengundi cukup besar.

“Yang penting untuk mereka sekarang adalah PAS dan PN ini melebarkan kemenangan di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya. – 13 April, 2023.

Iklan
Iklan