Iklan

Lebih 800 bekas kakitangan Utusan masih tunggu pampasan

Mohd Farhan Darwis2 years ago14th Apr 2023Berita
Utusan (4)
Lebih 800 bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang diberhentikan pada Oktober 2019 masih menunggu pampasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April 2023.
Iklan

LEBIH 800 bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) yang diberhentikan masih menunggu pampasan ketika lebih 600 yang lain berjaya menerima bayaran.

Bekas kakitangan yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) itu memberitahu The Malaysian Insight, mereka sudahpun menerima bayaran tunggakan bermula Isnin lalu.

Namun lebih 800 kakitangan yang diberhentikan ketika syarikat itu ditutup pada Oktober 2019 masih lagi berjuang untuk mendapatkan pampasan susulan penutupan UMMB sehingga hari ini.

Hanya bekas pekerja dalam kategori gaji RM2,000 sebulan dan ke bawah dan pekerja manual sahaja yang layak menerima faedah pemberhentian kerja, berdasarkan Akta Pekerjaan 1995.

Sejumlah lebih 800 kakitangan yang diberhentikan tidak tergolong dalam kumpulan yang ditakrifkan akta tersebut.

Seorang bekas kakitangan UMMB dalam kumpulan tersebut berkata, mereka mengharapkan dapat berunding dengan pelikuidasi, UHY Advisory bagi pembayaran pampasan.

“Syarikat takkan bagi apa-apa tapi ada proses rundingan, kami akan buat dengan pelikuidasi,” katanya, yang juga enggan namanya disiarkan.

“Harapan kami, bekas kakitangan UMMB agar syarikat atau pihak pelikuidasi dapat mencari jalan agar kami mendapat pampasan sewajarnya,” katanya.

Antara tuntutan mereka termasuklah bayaran baki cuti, tuntutan kerja lebih masa, token, elaun, komisyen, serta ganti rugi notis penutupan syarikat, katanya.

Syarikat itu juga hanya membuat bayaran tunggakan gaji selama dua bulan, pada 2020, katanya.

Sejumlah lebih 800 kakitangan yang diberhentikan pada Oktober 2019 tidak tergolong dalam kumpulan yang layak menerima faedah pemberhentian kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April 2023.

Seramai lebih 600 lagi rakan mereka yang menerima tawaran skim VSS pada 2018 pula mendapat khabar gembira sewaktu Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang.

Tunggakan yang dianggarkan berjumlah RM58.46 juta itu dilunaskan kepada mereka selepas tertangguh sejak lima tahun lalu.

“Pembayaran penuh sudah dibuat kepada semua penerima VSS sejak Isnin lepas,” kata salah seorang daripada bekas kakitangan UMMB, yang enggan identitinya didedahkan.

Penerima pampasan VSS yang belum menerima bayaran pula terdiri daripada kakitangan yang sudahpun meninggal dunia kerana perlu diserahkan kepada waris mengikut prosedur, kata sumber.

Tunggakan tersebut merupakan baki bayaran pampasan selepas mereka menerima bayaran secara berperingkat selama lapan bulan selepas syarikat ditutup pada Oktober 2019.

Bayaran dilaksanakan pelikuidasi UMMB selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas memutuskan penerima VSS itu berhak mendapat bayaran.

Mahkamah memutuskan mereka adalah penerima manfaat dan bukannya pemiutang.

Keputusan itu dibuat selepas 160 bekas kakitangan UMMB yang merupakan penerima VSS membawa kes ke mahkamah.

Ia merupakan antara beberapa kumpulan bekas kakitangan yang membawa kes ke mahkamah bagi menuntut pampasan akibat pemberhentian pekerjaan.

Turut terlibat kira-kira 200 kakitangan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Utusan Melayu yang menuntut pampasan di Mahkamah Tinggi pada 13 Ogos 2020.

Pada 1 Oktober tahun lepas juga, sekumpulan bekas kakitangan UMMB berhimpun bagi menuntut pampasan yang masih belum ditunaikan selepas syarikat tersebut serta asetnya diambil alih.

Mereka mendesak pelikuidasi, UHY Malaysia membuat bayaran statutori, pampasan dan juga tunggakan bagi skim pemisahan pekerja.

UMMB merupakan syarikat akhbar yang wujud sejak 1930-an menerbitkan akhbar tertua dalam negara, Utusan Melayu dan kemudian turut menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo.

Syarikat itu ditutup selepas tidak lagi dapat menanggung bebanan hutang terkumpul sejak bertahun-tahun lamanya, yang dianggarkan berjumlah antara RM240 juta dan RM340 juta.

Selepas menutup operasi pada 2019, akhbar Utusan Malaysia kemudian kembali beroperasi di bawah syarikat penerbitan baharu, Media Mulia Sdn Bhd. – 14 April 2023. 

Iklan
Iklan