Iklan

Ubah suai polisi pengeluaran KWSP, kata pakar

Angie Tan2 years ago18th Apr 2023Berita
Kwsp building 260918
Pakar ekonomi mencadangkan polisi baharu KWSP perlu fleksibel untuk semua pencarum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2023.
Iklan

WALAUPUN terdapat keperluan untuk dasar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diubah bagi menyokong umur persaraan semasa 60 tahun, ia harus fleksibel untuk semua pencarum, kata perancang kewangan dan pakar ekonomi.

Mereka menggesa kerajaan untuk menggunakan pendekatan “soft landing” dan bukannya dasar “one size fits all”.

Mereka merujuk kepada cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk membuat perubahan kerana pengeluaran semasa hanya untuk ahli yang mencapai umur 50 tahun (satu pertiga daripada simpanan KWSP) dan pengeluaran penuh pada umur 55 tahun. 

Bagaimanapun umur persaraan meningkat kepada 60 tahun sejak Julai 2013.

MEF berkata pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi apabila mereka bersara pada usia 60 tahun. 

Pakar ekonomi Koong Lin Loong memberitahu The Malaysian Insight dasar pengeluaran mesti diubah supaya pencarum mempunyai simpanan apabila mereka mencapai 60 tahun. 

“Dasar pengeluaran harus diubah untuk membolehkan tiga pengeluaran. Maksudnya, sebahagian simpanan boleh dikeluarkan pada 50, kemudian ada yang pada 55, dan semua simpanan boleh dikeluarkan pada 60,” katanya. 

Beliau bagaimanapun berkata simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara. 

Ini berikutan gaji sebahagian ahli yang rendah dan kurang merancang kewangan. 

Timbalan Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia Dr Desmond Chong Kok Fei dalam pada itu berkata perubahan polisi pengeluaran akan memberi kesan kepada pelan yang diketepikan oleh pencarum KWSP.

“Setiap orang ada perancangan masing-masing. Mungkin ada yang bercadang untuk bersara bagi membayar pinjaman dan mendidik anak-anak. Jika kerajaan tiba-tiba umum mahu menangguhkan pengeluaran penuh, ia akan mengganggu rancangan rakyat. 

“Jika dasar itu dilaksanakan secara berasingan untuk kumpulan umur berbeza, keadaannya berbeza. 

“Sebagai contoh, menukar umur pengeluaran kepada 60 tahun bagi mereka yang baru bekerja ia mungkin lebih diterima,” katanya. 

Chong menjelaskan jika seorang ahli berusia 53 tahun dan dia pada asalnya dijangka bersara dan mengeluarkan jumlah penuh dalam dua tahun, perubahan itu boleh mengganggu rancangan mereka dan perlu menunggu tujuh tahun lagi. 

“Jurang itu akan menjadi besar, tetapi sebaliknya, jika ahli baru berusia 25 tahun tahun ini, adakah anda rasa ada perbezaan antara 55 dan 60? Tidak banyak perbezaan,” katanya.

Chong percaya perkara ini mesti dilihat dari perspektif pencarum KWSP dan KWSP juga harus menganjurkan kempen kesedaran untuk membolehkan orang ramai secara perlahan-lahan memahami simpanan sedia ada tidak mencukupi untuk persaraan. 

“KWSP harus mengemukakan data melalui kempen kesedaran untuk membuat ahli faham. Pendek kata, sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan ia mesti dilihat dari pelbagai peringkat dan ia mesti melalui peringkat penyiasatan, penyelidikan dan pemujukan rakyat,” katanya. – 18 April, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan