Pejabat syarikat analisis data di Kuala Lumpur cetus tanda tanya
Iklan
SYARIKAT penganalisis data, Cambridge Analytica yang diharamkan dari Facebook, memiliki pejabat di beberapa bandar besar di seluruh dunia termasuk di pinggir bandaraya Kuala Lumpur, Kota Damansara.
Apa yang lebih menimbulkan tanda tanya adalah pemilik hartanah itu berkata pejabat berkenaan tidak wujud di alamat yang tersenarai dalam laman web berkenaan.
The Malaysian Insight mengunjungi alamat yang tersenarai di laman web berkenaan pada Ahad lalu dan mendapati alamat itu membawa kepada sebuah kediaman berpagar di kawasan komuniti tertutup di Kota Damansara, Selangor.
Pemilik rumah dua tingkat itu yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau tinggal di rumah berkenaan sejak empat tahun lalu.
Ditanya sama ada beliau tahu alamat rumahnya tersenarai dalam lama web Cambridge Analytica, pemilik rumah berkenaan nyata terkejut.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan alamat yang tertera pada laman web berkenaan adalah alamat rumahnya.
The Malaysian Insight menghubungi ketua SCL’s South-east Asia Azrin Zizal dan kini menunggu maklum balas daripada beliau.
Selain Malaysia, syarikat data raya itu turut memiliki empat lagi pejabat yang terletak di New York, Washington DC, London dan Brazil.
Maklumat di laman web Cambridge Analytica menunjukkan syarikat itu terlibat membantu Barisan Nasional memenangi semula Kedah daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013 melalui mesej kempen bersasaran yang menonjolkan penambahbaikan sekolah sejak 2008. Pada pilihan raya itu, BN menang 21 daripada 36 kerusi negeri serta 10 daripada 15 kerusi Parlimen.
Syarikat itu mencetuskan kemarahan syarikat media sosial tersebut kerana gagal memadam data pengguna yang diperolehi daripada satu pembuat aplikasi ujian psikologi popular.
Turut digantung dari Facebook adalah organisasi utamanya, Strategic Communication Laboratories, dan juga dua ahli psikologi dari University Cambridge, Aleksandr Kogan dan Christopher Wylie, yang menguruskan Eunioa Technologies.
Syarikat analisis data itu membantu kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2016.
Menurut laporan media, Cambridge Analytica merupakan cabang dari SCL Group, satu lagi syarikat data raya.
Menurut laporan AFP, Cambridge Analytica, unit AS firma pemasaran sikap pengguna SCL, meningkat menjadi terkenal apabila firma itu diupah oleh satu kumpulan pro-Brexit, Leave.EU, untuk pengumpulan data dan sasaran khalayak.
Cambridge Analytica sebahagian besarnya dimiliki oleh seorang penyokong Trump iaitu Robert Mercer, seorang hartawan yang suka berahsia dan sangat konservatif, menurut laporan media AS.
Facebook pada 2015 berkata, Kogan telah melanggar Dasar Platform mereka dengan menyampaikan data dari aplikasi yang menggunakan sistem log masuk Facebook ke SCL / Cambridge Analytica.
Aplikasi Kogan, thisisyourdigitallife, yang menawarkan ujian ramalan personaliti, dipromosi di Facebook sebagai “aplikasi kajian yang digunakan oleh ahli psikologi”.
Sebanyak 270,000 orang memuat turun aplikasinya, yang membolehkan Kogan mengakses maklumat seperti bandar yang disenaraikan di profil, atau kandungan yang disukai pengguna terbabit.
Facebook, yang tidak menyatakan bagaimana data itu digunakan atau disalahgunakan, menyebut bahawa aplikasi itu disingkirkan pada 2015 apabila firma itu mengetahui mengenai pelanggaran dasar tersebut.
Kogan seterusnya memberitahu Facebook dan kesemua pihak yang menerima data tersebut bahawa maklumat berkenaan telahpun dimusnahkan. – 19 Mac, 2018.