Iklan

Sanusi jadi isu PRN Kedah, kata pemimpin akar umbi

Diyana Ibrahim2 years ago22nd Apr 2023Berita
Muhammad sanusi md nor facebook 140821  full
Rakyat mula meluahkan rasa tidak senang hati dengan sikap Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor yang sering kali mencetuskan perbalahan dengan kerajaan pusat, kata pemimpin Umno dan Pakatan. – Gambar Facebook, 22 April 2023.
Iklan

PILIHAN raya negeri (PRN) di Kedah dijangka hangat dengan isu kepemimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, kata pemimpin akar umbi Umno dan Pakatan Harapan (PH).

Mereka melihat rakyat mula meluahkan rasa tidak senang hati dengan sikap Sanusi yang sering kali mencetuskan perbalahan dengan kerajaan pusat.

Walhal banyak isu-isu negeri seperti menyelesaikan masalah kos sara hidup dan perkhidmatan air tidak ditumpukan menteri besar itu, kata pemimpin ini kepada The Malaysian Insight.

Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Said Ali berkata menteri besar itu sepatutnya tidak memikirkan kepentingan politiknya dengan cuba bersikap hero dan individualistik.

Katanya rakyat mahu melihat menteri besar yang profesional dan menjaga hubungan baik dengan kerajaan persekutuan walaupun berlainan parti.

“Masalahnya rakyat tak nampak visi Sanusi ini selain daripada beliau hanya cuba pamer kehebatan dan keceluparan mulut beliau.

“Keadaan itu tidak menguntungkan dalam rakyat tertekan dengan pelbagai isu tapi sikap beliau nak pamer sebagai hero, individualistik menyebabkan rakyat tidak boleh terima,” kata Said.

Sanusi antara lain mencetuskan kontroversi dengan dakwaan kerajaan pusat cuba menekan pentadbirannya.

Bulan lepas Sanusi mendakwa dihalang hadir ke program kerajaan pusat termasuk acara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima ‘23).

Rabu lepas, naib presiden PAS itu mendakwa wujud usaha terancang menyingkirkan beliau daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara.

Beliau mendakwa ada surat daripada Kementerian Kewangan yang dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah berhubung perkara itu.

Dakwaan itu dinafikan kerajaan pusat.

Banyak isu-isu negeri seperti menyelesaikan masalah kos sara hidup tidak ditumpukan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April 2023.

PAS yang membentuk kerajaan di Kedah menguasai 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala rakan gabungannya, Bersatu mempunyai enam kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Said menjangkakan isu tersebut menyebabkan pengaruh PAS di negeri itu dalam PRN kali ini tidak lagi kuat seperti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata sentimen rakyat kali ini akan memihak kepada parti yang menawarkan kestabilan politik seperti Umno dan PH.

Said mengakui biarpun masih wujud kelemahan dalam kerjasama antara dua parti, secara asasnya pemimpin parti mereka komited untuk menjayakan kestabilan politik terhadap rakyat.

“Saya ingat rakyat lebih menumpukan kehidupan mereka iaitu mahu kestabilan politik demi membangunkan semula ekonomi negara.

“Sebab sebelum ini banyak kali kerajaan bertukar hingga memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar juga melihat rakyat Kedah tidak gembira dengan isu hubungan antara Sanusi dengan kerajaan pusat.

“Isu kepemimpinan Sanusi ini betul-betul memalukan dan mencemarkan kedaulatan Sultan Kedah.

“Maksudnya dalam konteks menjaga maruah negeri apabila beliau bawa perwatakan sebagai samseng bukan sebagai negarawan.

“Ini isu besar yang dicakap semua orang termasuk pegawai kanan kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya penguasaan PAS dalam pilihan raya umum lepas tidak boleh dijadikan ukuran dalam PRN kali ini.

Beliau berkata kejayaan PAS dan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana memainkan retorik perkauman dan agama yang sempit.

Namun rakyat sudah mula membuka mata dan tidak terpengaruh dengan isu dimainkan PAS, katanya. – 22 April 2023. 

Iklan
Iklan