Iklan

Umno Selangor intai separuh kerusi majoriti Melayu

Mohd Farhan Darwis2 years ago23rd Apr 2023Berita
52003796823 f25207a0a5 b
Umno Selangor mahu mendapatkan antara 15 hingga 20 kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2023.
Iklan

UMNO Selangor menaruh harapan untuk bertanding di separuh daripada lebih 30 kerusi majoriti Melayu di negeri itu, kata ketua sayap pemudanya Mohd Imran Tamrin.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, hasrat itu bagaimanapun tertakluk kepada persefahaman antara parti terlibat yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini, katanya.

“Rundingan kerusi masih berjalan, belum dimuktamadkan, kerusi BN atau Umno tertumpu di kerusi majoriti Melayu, ada lebih kurang 33 kerusi semuanya…

“Jumlah kerusi sedang runding antara 15 hingga 20, namun berapa dapat terpulang kepada pucuk pimpinan.

“(Harapan) kekal lima kita ada sekarang, ada lima atau enam kerusi tambahan lain yang kita akan tandingi, sasaran menang mungkin dalam 10 kerusi,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, bilangan kerusi itu tidak harus dijadikan perbalahan kerana keutamaan harus diberikan untuk menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) daripada menawan Selangor.

“Dalam semangat itu kena ada tolak ansur dan masing-masing ada peranan dan tanggungjawab bersama. Bukan cerita berapa kerusi tanding tapi berapa kerusi boleh menang,” katanya.

Katanya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) harus dilihat sebagai cabaran kerana kebangkitan PN menyaksikan mereka berjaya menawan enam kerusi Parlimen di Selangor.

Namun beliau percaya landskap politik beransur berubah menjelang PRN akan datang.

“Kalau dilihat konteks PRU15 akan jadi satu cabaran kepada BN dalam berhadapan PRN khususnya enam Parlimen dimenangi PN.

“Landskap politik hari berbeza dengan PRU15. Ketika itu kita bertanding tiga penjuru, calon bertanding terbahagi kepada tiga parti besar iaitu PH, BN dan PN.

“Tetapi kali ini umum mengetahui kita akan melihat satu format dan landskap baru, kemungkinan besar dua penjuru, sudah hampir pasti, sama ada PH melawan PN atau BN melawan PN,” katanya.

PH pada 8 April lalu mengumumkan parti tersebut dan juga BN bersetuju agar semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang dalam PRU14 bagi PRN di enam negeri akan datang.

Pengumuman itu dibuat Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail pada 8 April.

Setiausaha PH Selangor Mohd Khairuddin Othman seterusnya pada 10 April berkata, gabungan itu tidak pernah berbincang soal menyerahkan beberapa kerusi mereka untuk ditandingi BN.

Dalam PRU tahun 2018 itu, PH menguasai 40 kerusi masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, manakala BN menang lima di Selangor dan dua di Pulau Pinang.

Di Negeri Sembilan, PH menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN manakala BN menguasai 16 kerusi.

Ketua sayap pemuda Umno Selangor, Mohd Imran Tamrin berkata bilangan kerusi tidak harus dijadikan perbalahan kerana keutamaan untuk menghalang PN menawan Selangor.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2023.

Mengulas lanjut, Imran berkata, tidak bermakna jika parti bertanding di banyak kerusi tetapi tewas dan gagal mencapai sasaran mengekang PN.

“Kalau PH tanding banyak kerusi akhirnya banyak kerusi di kawasan Melayu PH akan kehilangan undi dan tak dapat pertahan kerusi. Jadi kita khuatir beri kelebihan kepada PN, jadi tak guna.

“Begitu juga kepada BN. Kalau kerusi tanding banyak (tapi) tak beri nilai tambah bentuk kemenangan dan bentuk kerajaan tak guna juga,” katanya.

Jentera Pemuda Umno Selangor juga katanya sedang berusaha merintis jalan mencari titik persamaan dengan sayap parti.

“Kami juga laksanakan penyatuan rakan-rakan untuk berhadapan PRN.

“Kami sedang melakar jalan menerokai peluang kerjasama bersama format kerajaan perpaduan antara jentera PKR, Amanah dan DAP dalam konteks PH bersama BN,” katanya.

Dalam usaha itu, BN menyasarkan untuk meraih kembali sokongan pengundi Melayu kepada BN, selepas gabungan itu ditolak rakyat pada PRU15, katanya.

“Dalam konteks ini kita akan berikan harapan dan peluang lebih besar kepada BN menentang PN pada PRN akan datang.

“Kita bukan sahaja tumpu undi asas BN dalam kawasan Melayu, tumpu undi ahli dan penyokong sendiri, namun akan dibantu undi asas daripada PH khususnya pengundi dan penyokong bukan Melayu.

“Ini akan memperlihatkan semula semangat BN, sebuah masyarakat majmuk yang ada Melayu, Cina, India dan lain-lain,” tambahnya.

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor Johan Abdul Aziz pula berkata, pembahagian kerusi untuk PRN akan datang masih belum dimuktamadkan.

Rundingan bersama PH akan berjalan semula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, katanya.

“Belum lagi ada kata putus, belum muktamad lagi. Lepas raya baru duduk dan bincang semula,” katanya ringkas.

Beliau ketika dihubungi sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight, BN Selangor tidak bersetuju agihan kerusi mengikut kawasan yang disandang satu-satu parti sahaja.

“Kalau lima kerusi sahaja nak bagi BN saya tak setuju.

“Andai kata rundingan tentukan ikut status quo kalau lima bagi BN maka tak sesuai rundingan macam itu,” katanya.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari juga dilapor berkata rundingan kerusi masih berjalan namun dijangka selesai pada awal bulan depan. – 23 April, 2023.

Iklan
Iklan