Iklan

Ramai pilih beraya sambil melancong di Tasik Kenyir, kata pengusaha

Diyana Ibrahim2 years ago23rd Apr 2023Berita
Rumah bot fb3
Pengusaha berkata kebanyakan tempahan diterima daripada perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman. – Gambar Facebook, 23 April, 2023.
Iklan

MENYAMBUT hari raya sambil melancong kini menjadi trend baharu, kata pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang menerima tempahan rumah bot yang sangat menggalakkan hujung minggu ini.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kebanyakan tempahan itu diterima daripada perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman dan mahu meraikan kelainan suasana bersama keluarga.

Sulong Mustafa yang mengusahakan rumah bot di Tasik Kenyir bagaimanapun berkata tidak semua pengusaha beroperasi pada hari raya pertama, antara lain kerana memberi peluang kepada pekerja untuk bercuti.

“Saya sendiri pun akan mula beroperasi pada raya ketiga walaupun permintaan untuk raya pertama itu memang sangat banyak kami terima.

“Kami terpaksa tolak dan beri kepada pengusaha yang beroperasi pada hari raya pertama… cuma kami akan ingatkan pelanggan, caj pakej percutian rumah bot di Tasik Kenyir pada raya pertama dan kedua lebih tinggi berbanding musim biasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Harga sewa rumah bot di Tasik Kenyir yang boleh memuatkan lebih kurang 20 orang adalah antara RM1,600 hingga lebih RM3,000 bergantung tempoh pakej dan jenis rumah bot.

Menurut Sulong, sempena Aidilfitri, kebanyakan pengusaha mengambil inisiatif menghias rumah bot mereka sesuai dengan tema sambutan hari raya.

Seorang lagi pengusaha Rizal Muhammad berkata operasi pelancongan rumah bot di Tasik Kenyir sudah kembali rancak selepas menempuhi hari-hari suram awal tahun ini, biarpun kegiatan pelancongan dibuka semula selepas pandemik Covid-19.

Rizal yang beroperasi bermula hari raya ketiga Isnin ini berkata rumah botnya sudah ditempah penuh sehingga cuti Hari Pekerja pada 1 Mei nanti.

“Sebelum ini operasi agak suram sikit mulai Januari hingga April walaupun musim cuti sekolah, sambutan lebih kurang sama dengan tahun lalu.

Kebanyakan pengusaha mengambil inisiatif menghias rumah bot mereka sesuai dengan tema sambutan hari raya. – Gambar Facebook, 23 April, 2023.

“Tapi Alhamdulillah mulai musim cuti raya tempahan penuh untuk dua minggu… kami jangka momentum ini akan berterusan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abdul Aziz Abdul Rahman pula berkata pelanggan mereka mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga semasa musim perayaan Aidilfitri.

“Masa cuti raya ini biasanya akan berkumpul adik-beradik dan sanak saudara, jadi mereka pilih untuk merapatkan hubungan kekeluargaan semasa raya di rumah bot Tasik Kenyir,” katanya.

Beliau menjelaskan keseluruhan operasi pelancongan di Tasik Kenyir tahun ini juga tidak jauh berbeza berbanding tahun lalu.

Abdul Aziz juga menjangkakan sambutan pelancong ke Tasik Kenyir akan kembali rancak sehingga Ogos depan.

Tasik Kenyir juga mempunyai daya tarikan baharu selepas jambatan baharu di Pulau Poh beroperasi sejak 2021, katanya.

“Kalau kata sambutan pelancong menurun berbanding tahun lalu, tidak juga. Saya rasa sambutannya sama… tidak merosot, tidak juga meningkat. Tahapnya kekal sama.

“Saya fikir kerana faktor ekonomi. Macam mana pun kami yakin permintaan akan kembali bermula waktu cuti hari raya ini.

“Kami harap sambutan itu akan lebih meriah lagi,” katanya, merujuk kepada jambatan baharu yang menjadi ikon Tasik Kenyir.

Jambatan bermotifkan kepala bangau itu dibina dengan kos RM107 juta. – 23 April, 2023.

Iklan
Iklan