Iklan

Walaupun kes dera amah menjadi-jadi, Indonesia akan terus hantar pekerja

Asila Jalil7 years ago20th Mar 2018Berita
Interview zahrain tmifarhan03
Duta Malaysia ke Indonesia, Zahrain Mohamed Hashim mengatakan hubungan kedua negara masih baik, walaupun kes penderaan amah rakyat republik itu sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 20 Mac, 2018.
Iklan

INDONESIA dan Malaysia akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembantu rumah bulan depan walaupun ada beberapa kes penderaan melibatkan amah warga Indonesia baru-baru ini, kata Duta Malaysia ke republik itu, Zahrain Mohamed Hashim.

Indonesia masih sedia mengirimkan tenaga kerjanya ke Malaysia, membayangkan hubungan antara dua negara masih kukuh, kata Zahrain.

Menurut duta besar itu kes terbaru melibatkan seorang “Datin”, yang dibebaskan dengan bon berkelakuan baik selepas mengaku salah menyebabkan kecederaan ke atas pembantu rumahnya warga Indonesia, tidak mencetuskan kekecohan di republik berkenaan.

“Saya tidak fikir kes ini akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara kerana kita dua negara serumpun. Hubungan kita baik,” katanya.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya minggu lalu mengarahkan Rozita Mohd Ali dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 kerana mencederakan Suyanti Sutrinso.

Hukuman itu bagaimanapun dikritik oleh pelbagai pihak kerana tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Lebih 50,000 orang kemudian menandatangani petisyen dalam talian yang dimulakan Sabtu lalu mendesak hukuman lebih keras dikenakan ke atas Rozita. 

Menurut Zahrain, hukuman itu “tidak adil” dan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia yang memberi reaksi balas kerana sentuhan kemanusiaan.

“Ada bantahan di Malaysia kerana hukuman itu tidak setimpal,” kata Zahrain kepada The Malaysian Insight.

“Saya rasa Pejabat Peguam Negara melakukan sesuatu yang wajar iaitu merayu (hukuman).’

Penghantaran amah warga Indonesia ke Malaysia masih akan diteruskan mengikut situasi ekonomi semasa negara itu walaupun wujud banyak kes penderaan amah di sini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan semakan semula kes berkenaan esok, atas permohonan pihak pendakwa raya.

Kes Sutanti jadi perhatian beberapa minggu selepas seorang pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao meningga dunia selepas didera oleh majikannya di Pulau Pinang, termasuk didakwa dipaksa tidur bersama anjing di luar rumah.

Adelina cedera parah di kepala dan muka serta ada kesan luka pada tangan dan kaki. Beliau dibawa ke hospital untuk rawatan selepas diselamatkan oleh polis yang bertindak atas maklumat orang awam, tetapi meninggal dunia sehari kemudian.

Indonesia kemudian menimbang untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia namun menurut Zahrain kerajaan republik itu menarik balik cadangan tersebut.

“(Menurut) Presiden Joko Widodo, kalau boleh mereka tidak mahu rakyat mereka bekerja di luar negara sebagai pembantu rumah tetapi itu tergantung kepada keadaan ekonomi serta permintaan dan bekalan.

“Itu (moratorium) yang mahu mereka lakukan akhirnya tetapi bukan sekarang. Kalau mereka lakukan sekarang, ia akan mencetuskan masalah kerana sesetengah orang tidak ada kerja di Indonesia,” katanya, dan menambah pembekuan itu hanya boleh berlaku sekiranya Indonesia menyediakan pekerjaan yang mencukupi untuk rakyatnya.

Sementara itu, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur memberitahu The Malaysian Insight mereka menyerahkan sepenuhnya kes Rozita kepada proses perundangan di Malaysia dan tidak akan campur tangan.

“Proses undang-undang masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad.

“Kedutaan menghormati dan memantau proses ini. Kedutaan tidak akan campur tangan dan yakin dengan proses perundangan di Malaysia,” kata jurucakap pejabat itu kepada The Malaysian Insight.

Rozita pada awalnya dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba membunuh pembantu rumahnya.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan parah pada Suyanti, 19, dengan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi serta penyangkut baju, yang dijadikan senjata menyerang warga Indonesia itu.

Selepas mahkamah mendengar keterangan 10 saksi, Rozita menukar pengakuan bersalah setelah pertuduhan dipinda mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan tertuduhan dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000. – 20 Mac, 2018.

Iklan
Iklan