Pemegang taruh desak Putrajaya naikkan harga siling beras putih tempatan
Iklan
PUTRAJAYA perlu menaikkan harga siling beras putih tempatan yang masih kekal tidak berubah sejak 15 tahun lalu, kata Persatuan Pemborong Beras Malaysia.
Persatuan itu berkata ia mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan harga siling itu sebanyak 5% (termasuk cukai jualan dan perkhidmata), daripada harga semasa RM26 bagi 10kg kepada RM32.
Presidennya, Tan Swee Huat memberitahu The Malaysian Insight harga siling baharu itu akan memberi manfaat kepada semua pemegang taruh, termasuk pesawah, kerana harga semua bahan akan naik.
“Pesawah pada masa ini mengeluarkan kos lebih tinggi untuk baja, racun serangga dan perbelanjaan berkaitan yang lain. Jika harga siling tidak dapat diubah, ia akan menyukarkan lagi keadaan,” katanya.
Tan berkata dengan harga siling baharu, pesawah secara berperingkat akan dapat meningkatkan hasil tanaman bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.
“Mengubah harga siling itu secara relatifnya adalah baik. Kalau tidak, harga beras tempatan akan tertekan setiap masa.
“Bagaimana pesawah dapat berkembang? Tanpa untung langsung, ia akan menyebabkan pengurangan dalam jumlah pengeluaran dan rantaian bekalan juga akan berkurangan, di mana akhirnya memudaratkan lagi persekitaran keseluruhan,” katanya.
Tan berkata pihaknya berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu itu.
Katanya, perubahan harga itu tidak akan menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah, mendakwa penjual beras akan menyerap sebahagian kenaikan itu, dan harga jualan naik hanya sedikit.
“Orang ramai tidak perlu risau sangat tentang kenaikan dalam harga siling beras putih.”
Tan berkata persatuan itu turut menggesa Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memastikan bekalan beras putih mencukupi.
“Beras putih tempatan hanya dapat memenuhi 65% permintaan, dan selebihnya adalah beras import. Bernas, yang menjadi pengimport tunggal beras putih di Malaysia, perlu memastikan bekalan beras putih mencukupi untuk menstabilkan harga pasaran,” katanya.
Pada 17 April, persatuan itu menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Chan Foong Hin berkenaan cadangan itu.
Kerajaan mengenakan harga siling bagi memastikan harga beras tidak melonjak dan bekalan beras mencukupi.
Bagaimanapun, tindakan itu pada masa sama menyekat pertumbuhan pesawah kerana mereka terikat dengan kawalan harga.
Sokong pesawah tempatan
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia Hong Chee Meng turut menyokong cadangan itu untuk menyokong pesawah.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya memberikan subsidi kepada pesawah tempatan untuk meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan dan mengurangkan beras import.
“Kita masih perlu menyokong produk tempatan dan pesawah, dan tidak terus-terusan bergantung kepada beras import. Beras impot mahal kerana pertukaran wang asing,” katanya. – 29 April, 2023.