Iklan

Umno kena terima konsep 'setuju untuk tidak bersetuju', kata Amanah

Mohd Farhan Darwisa year ago29th Apr 2023Berita
49933579722 1276d842f4 c
Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak supaya berhenti mengulas isu permohonan pengampunan terhadap Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2023.
Iklan

AMANAH menghormati pendirian dan keputusan Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja buat bekas presiden mereka Najib Razak, namun pimpinan parti Melayu itu juga perlu menghormati pendirian pihak lain yang tidak selari dengan mereka, kata Pengarah Komunikasi Khalid Samad.

Sebagai rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan, Umno katanya perlu menerima dan mengiktiraf pandangan berbeza antara sesama rakan dan perlu bersedia dengan pendirian “bersetuju untuk tidak bersetuju”.

“Kita hormat kehendak Umno untuk buat permohonan, itu hak mereka tapi kena akui Amanah ada pendapat berbeza. Dia (Umno) pun kena hormat kita untuk ada pandangan berbeza, ini dikatakan ‘agree to disagree’. Perbezaan ini perlu diktiraf dan diterima.

“Bagi mereka Najib banyak berjasa dan menyumbang kepada Umno, mereka sayang kepada Najib dan anggap Najib sebagai hero tetapi tidak bagi kami, dia tak begitu.

“Kita ada perbezaan pendapat, jadi pegang pandangan masing-masing dan saling hormat-menghormati,” kata Khalid, kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menggesa semua pihak supaya berhenti mengulas isu permohonan pengampunan terhadap Najib.

Menurut Ahmad Zahid, pengampunan diraja adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tidak seharusnya mana-mana pihak, termasuk parti politik yang bersahabat dengan Umno memberikan ulasan.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan awal Khalid yang menyuarakan pendirian Amanah mengenai permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan atas sabitan dan hukuman yang sedang dijalaninya berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berpandangan yang Umno perlu menerima konsep bersetuju untuk tidak bersetuju dalam isu pengampunan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2023.

Amanah berpendirian pengampunan ke atas Najib akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang mahu membersihkan negara daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ia juga menghantar mesej yang salah kepada dunia mengenai sikap Malaysia terhadap rasuah, ketika beberapa negara juga membicarakan pesalah kes skandal 1MDB, kata Khalid.

Sehubungan itu, Amanah merayu Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan Najib.

Tidak jejas hubungan

Dalam pada itu, Khalid bagaimanapun berkata, perbezaan pandangan Amanah dan Umno tidak akan menjejaskan hubungan antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, perbezaan pendapat tidak seharusnya mengatasi kebersamaan yang lebih besar dalam kerajaan.

“Tidak bererti kita nak kerajaan perpaduan ini ditamatkan, perbezaan pendapat tak boleh dielak, kita banyak parti.

“Tetapi kita saling hormat-menghormati, dan bersedia untuk ‘agree to disagree’, kita boleh bersama untuk wawasan lebih besar, iaitu negara Madani yang mengamalkan politik Rahmah,” kata Khalid.

Jelas Khalid, Amanah sekadar menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara itu.

“Bila dia (Umno) buat rayuan permohonan kita tak kecam tapi kita tak setuju. Kita jelaskan apa sebab kita tak setuju, itu perspektif kita,” katanya.

Majlis Kerja Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya pada 7 April membuat ketetapan untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memberi pengampunan penuh kepada Najib.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2023.

Menurut Khalid, kebersamaan Amanah dalam Pakatan Harapan bersama Umno untuk membentuk kerajaan mengatasi perbezaan pandangan antara mereka.

“Kebersamaan kita lebih penting, kita nak masyarakat bebas penyelewengan, rasuah, ekstremisme agama dan kaum, dan nak perpaduan nasional, membangun negara dan membantu rakyat bersama.

“Ini yang akan menyebabkan kita kekal bersama walaupun ada perbezaan dalam isu khusus,” katanya lagi.

Majlis Kerja Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya pada 7 April membuat ketetapan untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memberi pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata MKT Umno membuat ketetapan itu atas dasar Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil, dan kerana itu wajar dibebas dan dilepaskan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas didapati sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, yang disahkan sebelum itu oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Panel kedua Mahkamah Persekutuan mendapati tidak berlaku kegagalan proses keadilan ketika mahkamah tertinggi negara mendengar rayuan akhir Najib pada Ogos 2022.– 29 April, 2023.

Iklan
Iklan