Iklan

Umno tak terjejas jika bekas pimpinan tanding tiket PN, kata Pemuda Selangor

Mohd Farhan Darwisa year ago1st May 2023Berita
49931673118 2ee3ae5d66 b
Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahidan Kassim dan anak Noh Omar, Nurul Syazwani Noh disebut-sebut bertanding pada PRN Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2023.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) Selangor tidak akan terjejas sekiranya ada bekas pemimpin Umno atau calon yang dikaitkan dengan mereka mahu bertanding pada pilihan raya negeri tidak lama lagi, kata Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin.

Sejak beberapa hari lalu, media memetik sumber yang tidak dinamakan yang mendedahkan antaranya anak bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Anak Noh, Nurul Syazwani menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat dari Umno pada Januari lalu dan kini mengetuai sayap Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang.

Nama lain yang disebut-sebut termasuk bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dipecat daripada Umno pada hujung Januari lalu. Beliau dijangka bertanding melalui kuota calon Bersatu.

Mohd Imran berkata pihaknya tidak gentar dengan berita seperti itu, yang dianggapnya perang psikologi mainan PN.

“Ini adalah perang psikologi PN bagi menimbulkan rasa tak selesa dan juga satu perkara yang boleh jejaskan kesatuan dalam parti, sebab setiap pemimpin ada pengikut dan penyokong walaupun mereka sudah dipecat dan digantung,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mohd Imran yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar berkata, PN sengaja menggunakan nama bekas pemimpin Umno bagi mengganggu akar umbi parti, menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri yang dijangka pertengahan Jun ini.

“Bila digembar-gemburkan dibuat sentimen begitu akan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli parti.

“Saya merasakan itu sekadar cakap-cakap politik sahaja,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan Umno dan BN Selangor tidak memandang remeh laporan khabar angin itu sebaliknya akan bersiap sedia untuk memastikan calon mereka menang.

“Di peringkat Tanjong Karang kita tak boleh pandang ringan kerana ada pengaruh Noh, tapi perlu diingat waktu itu Noh pemimpin Umno dan BN.

Mohd Imran Tamrin berkata pihaknya tidak gentar dengan berita seperti itu yang dianggapnya perang psikologi mainan PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2023.

“Selepas beliau tidak lagi bersama dalam parti kerana dipecat saya ingat pengaruh Noh tak sama seperti ketika mana beliau di dalam parti.

“Tetapi sedikit sebanyak akan memberikan saingan dan tentangan yang agak signifikan kepada calon yang akan bertanding dalam mana-mana DUN di Tanjong Karang,” katanya.

Kawasan Parlimen Tanjong Karang mempunyai dua kerusi negeri iaitu Sungai Burong dan Permatang.

DUN Sungai Burong kini diwakili Mohd Shamsudin Lias dari BN sementara DUN Permatang diwakili Rozana Zainal Abidin dari Pakatan Harapan (PH).

Mohd Imran yakin jentera sayap Pemuda Umno Selangor akan mematahkan segala strategi PN.

“Siapa pun bertanding di mana-mana kerusi DUN Selangor, kita Pemuda akan pastikan jentera siap siaga.

“Sekiranya ia benar-benar terjadi (bekas pemimpin bertanding atas tiket pembangkang), Umno dan BN cukup bersedia berhadapan siapa juga calon parti PN di Selangor pada PRN. Apa yang paling mustahak ialah gerak kerja kita,” tegasnya.

Beliau juga berharap pengundi dapat melihat gambaran besar untuk mengekalkan kerajaan negeri yang seiring dengan pentadbiran kerajaan perpaduan di Putrajaya.

Selain anak Noh dan Khairy, bekas pemimpin Umno Perlis, Shahidan Kassim yang juga dibuang dari parti minggu lalu dilapor sedia bertanding pada pilihan raya negeri, dan membayangkan kesediaannya bertanding di Selangor.

PAS Selangor bagaimanapun berkata nama Shahidan tiada dalam senarai pendek calon parti itu untuk Selangor.

Shahidan bertanding atas tiket PN menggunakan kuota PAS semasa Pilihan Raya Umum ke-15 dan membantu mereka menguasai Perlis, menjadikannya negeri keempat diterajui parti Islam itu selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu. – 1 Mei, 2023.

Iklan
Iklan