Iklan

Tiada tekanan Amanah mohon maaf isu pengampunan Najib, kata Sany Hamzan

Mohd Farhan Darwisa year ago1st May 2023Berita
Sany hamzan 080323 tmiseth-10
Pengarah Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Mohd Sany Hamzan berkata parti itu tidak ditekan untuk memohon maaf isu pengampunan diraja ke atas Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2023.
Iklan

AMANAH tidak ditekan untuk memohon maaf selepas terdapat pemimpin parti itu menolak usaha Umno memohon pengampunan diraja ke atas Najib Razak, kata pemimpin parti.

Pengarah Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya juga melihat ia hanyalah isu kecil.

“Tidak ada tekanan kepada Amanah (dalam isu ini) sebab isu ini terlalu kecil sangat, kita dah diberi mandat, kena jaga negara dan rakyat, ekonomi teruk, rakyat susah, fokus kita usaha membantu rakyat.

“Ini benda kecil, biasalah dalam adik-beradik kita pun ada yang nakal dan buat silap, kalau kita rasa benda tak tepat kita minta maaf sahajalah, tiada masalah.

“Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, Syawal yang mulia ini elok kita bermaaf-maafanlah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata lebih wajar agar isu membabitkan pengampunan itu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“Kesudahannya kuasa pengampunan terletak kepada budi bicara kebijaksanaan Agong, kalau kita tak setuju pun andai kata atas kebijaksanaan, penelitian dan nasihat Agong, kalau itu keputusan Agong maksudnya kita sebagai rakyat kena akui, itu keputusan Agong, kuasa itu ada pada baginda. 

“Sama ada satu pihak setuju atau tak setuju, kalau pengampunan tak diberikan pun kita kena terimalah.

“Berkaitan kenyataan Khalid Samad, itu pandangan peribadi beliau, kenyataan rasmi parti dikeluarkan oleh Presiden (Mohamad Sabu),” katanya.

Dalam kenyataan awalnya Khalid berkata sekiranya permohonan itu dibenarkan ia akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang mahu membersihkan negara daripada penyelewengan.

Pemimpin Umno menyelar pendirian itu seperti dinyatakan Ahli Majli Kerja Tertinggi Mohd Puad Zarkashi yang menyifatkan Amanah tidak boleh dipercayai kerana bersikap “kawan makan kawan”.

Susulan itu Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub semalam membuat permohonan maaf kepada Umno berikutan kenyataan Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah yang memohon Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan untuk Najib.

Ahli Jawatankuasa Amanah Hanipa Maidin pula hari ini berkata pengundi Pakatan Harapan (PH) tidak mudah lupa kesalahan Najib dan juga sebarang pelakuan rasuah meskipun PH bekerjasama dengan Umno dalam satu kerajaan.

Lembaga Pengampunan yang bersidang Jumaat lepas bagaimanapun tidak membincangkan permohonan Najib itu.

Ia berikutan kertas rayuan pengampunan bekas Najib itu tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-59 yang bersidang di Istana Negara.

Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Khairul Dzaimee Daud berkata kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai. – 1 Mei, 2023.

Iklan
Iklan