Pakatan gesa Cambridge Analytica disiasat
Iklan
MALAYSIA harus menyiasat sama ada Cambridge Analytica (CA) yang diharamkan Facebook kerana menyalahguna data pengguna telah melakukan sebarang kesalahan atas dakwaaannya terlibat dalam kerja politik di negara ini, kata PKR hari ini.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis harus menyiasat CA dan sekutunya, SCL Group atas dakwaan terlibat dalam pilihan raya di Malaysia.
Seorang pegawai tinggi CA, melalui media UK, Channel 4 dengan megahnya mendedahkan firma tersebut turut melakukan kerja pilihan raya di Malaysia.
Pengarah Urusan CA Political Global Mark Turnbull memberitahu demikian kepada seorang wartawan stesen televisyen tersebut yang sedang menyamar dalam siasatan berkenaan tahun lalu.
Di laman webnya, CA menyatakan Malaysia merupakan salah satu daripada kajian kesnya di Asia.
Maklumat di laman web CA menunjukkan syarikat itu terlibat membantu Barisan Nasional memenangi semula Kedah daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013 melalui mesej kempen bersasaran yang menonjolkan penambahbaikan sekolah sejak 2008.
Pada pilihan raya itu, BN menang 21 daripada 36 kerusi negeri serta 10 daripada 15 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, Mukhriz Mahathir menafikan menggunakan perkhidmatan CA ketika mengetuai jentera kempen pilihan raya Barisan Nasinal (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dalam satu kenyataan terdahulu hari ini, Mukhriz berkata beliau juga tidak tahu menahu mengenai pembabitan firma berkenaan dalam kempen BN semasa pilihan raya umum 2013.
Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya.
Tuntutan sama turut disuarakan pemimpin strategi Bersatu Dr Rais Hussein yang mahu Najib menjelaskan mengenai penglibatan Cambridge Analytica dalam pilihan raya di Malaysia.
“BN perlu tampil secara terbuka dan mendedahkan sama ada mereka mengupah syarikat mencurigakan ini untuk mempengaruhi pilihan raya dalam negara,” katanya.
Laporan Channel 4 News turut merakam pengakuan Turnbull bahawa firma itu melakukan pelbagai cara untuk memanipulasi pilihan raya di negara terlibat, termasuk melakukan rasuah, menggunakan wanita sebagai umpan dan khidmat bekas perisik.
Rakaman sulit itu merupakan sebahagian daripada siasatan Channel 4 News ke atas Cambridge Analytica, yang menyiasat penglibatan firma tersebut dalam kempen pilihanraya 2016 melibatkan Presiden AS, Donald Trump. – 20 Mac, 2018.