Pakar berbeza pandangan saranan pakai pelitup muka
Iklan
PAKAR kesihatan berbeza pendapat tentang saranan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pemakaian pelitup muka di tempat awam awam bagi mengekang penularan Covid-19.
Seorang pakar berkata orang ramai perlu memakai pelitup muka terutamanya dalam pengangkutan awam bagi membendung jangkitan, manakala seorang bekas timbalan menteri kesihatan pula berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Menyokong saranan KKM itu, Prof Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya berkata risiko jangkitan Covid-19 akan menjadi lebih tinggi apabila cuti Hari Raya berakhir dan orang ramai mula bekerja kembali.
Pengangkutan awam dan kawasan tertutup juga akan kembali sesak, terutamanya ketika waktu puncak, katanya.
“Penumpang yang mengalami gejala selesema sudah tentu mesti memakai pelitup muka di tempat awam,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Menurut Moy, bagi mereka yang mengalami gejala seperti selesema perlu melakukan ujian kendiri, dan elakkan menaiki pengangkutan awam jika keputusan ujian adalah positif.
“Virus akan tersebar jika mereka keluar rumah dan tidak memakai pelitup muka,” jelasnya.
Beliau selain itu menegaskan varian baharu XBB.1.16 atau dikenali sebagai Arcturus 20% lebih mudah menular berbanding varian asalnya, Omicron.
Kes baharu akan meningkat apabila lebih ramai orang kembali bekerja dan sekolah dibuka semula selepas cuti perayaan, katanya.
Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza.
Katanya baik Omicron ataupun Arcturus kedua-duanya tidak boleh dikawal dengan memakai pelitup muka.
Dr Lee berkata kadar jangkitan serius dan kematian akibat varian baharu Covid-19 amat rendah ketika ini, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga baru-baru ini umum jumlah kematian akibat wabak itu 95% sejak awal tahun ini.
“Dalam erti kata lain, virus baharu ini tidak akan menyebabkan banyak kematian. Apa yang perlu kita lakukan ialah memantau trend jangkitan.
“Jadi, tiada keperluan untuk memakai pelitup muka dan ia bukanlah langkah yang berkesan,” katanya.
Tambah beliau, varian baharu Covid-19 akan terus muncul pada masa hadapan, dan orang ramai perlu membiasakan diri dengan situasi ini.
“Mudah-mudahan varian baharu tidak akan menyebabkan kematian yang tinggi.” – 5 Mei 2023.
Berita penuh di sini.