Iklan

Pakatan mahu tumpu kerusi bandar Kelantan, Terengganu

Diyana Ibrahima year ago9th May 2023Berita
Ph
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan Terengganu berharap dapat menumpukan kerusi bandar manakala BN memfokuskan kawasan luar bandar bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri kelak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2023.
Iklan

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan Terengganu berharap dapat menumpukan kerusi bandar manakala BN memfokuskan kawasan luar bandar bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri kelak.

Ia antara gambaran awal yang ditimbulkan dalam perbincangan awal dalam pendekatan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat berjalan di negeri itu, kata pemimpin PH.

Pengerusi Pilihan Raya PH Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata parti itu mungkin dapat mensasarkan kerusi di kawasan bandar seperti DUN Kota Lama.

“PH Kelantan mahu tertumpu di kawasan bandar seperti Kota Bharu. Contohnya di Kota Lama, PH dapat tempat kedua undi tertinggi (dalam PRU14).

“Jarak menang pun tak besar hanya beza 1,445 undi. Tapi disebabkan pertandingan tiga penjuru undi berpecah dengan BN.

“Jadi kita harap situasi Kota Lama tak berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Langkah itu dapat membuka peluang kemenangan lebih besar jika undi tidak lagi berpecah seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-14, katanya.

Keyakinan itu berdasarkan pemerhatiannya ke atas prestasi PAS yang tidak meraih kemenangan besar di kerusi dengan saingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum 2018.

“Seperti contoh ada kerusi DUN yang dimenangi PAS di Kelantan tidak sampai 50% (undi) pada PRU14 sebab perpecahan undi antara BN dan PH dulu.

“Tapi kalau tidak ada perpecahan undi, dengan hanya satu lawan satu maka peluang kita menang melalui kerjasama ini akan lebih tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wan Abdul Rahim juga lega kerana PH dan BN masing-masing mencapai persetujuan untuk bertanding di kerusi yang dikuasai setiap parti sebelum ini.

Ia seterusnya akan membolehkan Umno dan BN menguasai Kelantan sekiranya parti dalam kerajaan perpaduan memperolehi majoriti, katanya.

“Di Kelantan situasi jelas. Semua pihak bersetuju mengekalkan kerusi dimenangi semasa PRU lepas.

“Umno menang lapan kerusi di Kelantan jadi secara umumnya sebelum rundingan secara teliti, itu asas yang dihormati kita bahawa lapan kerusi itu milik Umno.

“Masing-masing tidak akan mempunyai sifat tamak. Maknanya kalau di Kelantan ini kita boleh bayangkan Umno akan menguasai jumlah kerusi terbanyak dalam PRN ini,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan kerjasama dengan BN, bekas pengerusi PH Kelantan itu yakin kedua-dua pihak akan dapat mengatasi cabaran itu.

Wan Rahim berkata isu pemimpin Umno Kelantan berkecil hati apabila pemimpin Amanah menolak usaha memohon pengampunan diraja ke atas Najib Razak juga dapat ditangani.

Kontroversi timbul apabila pemimpin Umno Kelantan mengancam memutuskan kerjasama apabila Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menggesa permohonan pengampunan itu ditolak.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi yang mempertimbangkan memutus hubungan dengan PH di Kelantan.

Ia  susulan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad supaya Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

“Itu bagi saya adalah kesan yang dirasakan sebab ikatan baharu ini, perkara itu memang tidak boleh dielakkan.

“Tapi dari situ perlu ada kebijaksanaan pemimpin yang boleh mengatasi ketegangan itu dengan berdiplomasi,” katanya.

Di Terengganu pemimpin PH juga menuntut untuk bertanding di kawasan bandar dan yakin dapat mencapai kemenangan selesa melalui pendekatan satu lawan satu.

Pemuda Amanah Terengganu Zamir Ghazali berkata PH yakin akan dapat memenangi kerusi campuran di kawasan bandar dengan selesa terutama melalui persefahaman itu.

Bagaimanapun, rundingan mungkin mengambil masa lebih panjang di Terengganu kerana Umno dan PH tetap mahu menguasai kerusi luar bandar yang tidak begitu dikuasai PAS.

Zamir menjangka pertembungan di beberapa kerusi memandangkan kekuatan sama rata antara PH dan Umno di kawasan tersebut.

“Dalam bacaan saya ada dalam lima atau 10 kerusi DUN seperti di Ajil,  Jabi, Ladang di mana jurang PAS menang ini tidak besar.

“Pada masa sama PN pun tidak ada jarak undi kalah yang besar kepada BN. Jadi kerusi ini akan ambil masa yang panjang sikit.

“Kerana mesej yang ada kerusi seperti ini ada potensi dimenangi kerajaan perpaduan,” katanya.

Namun beliau yakin ia hanya isu kecil malah akan menjadi kejayaan besar kerajaan perpaduan apabila dalam membahagikan kerusi dengan baik bagi PRN Terengganu.

Jelasnya kedua-dua parti sememangnya mengharapkan untuk mengambil alih pentadbiran negeri dari PAS tetapi PH menetapkan sasaran lebih khusus untuk menang kerusi sulung, katanya.

“Memanglah sasaran besar untuk ambil alih pentadbiran Terengganu dari PAS dan Umno pun ada cita-cita itu. Itu adalah sasaran besar kita.

“Tapi kalau cita-cita asal PH ini untuk dapatkan kerusi sulung di Terengganu,” katanya.

PH berjaya memenangi kerusi sulung DUN Bandar dalam PRU13 menerusi calon PKR Azan Ismail.

Bagaimanapun Azan yang juga pengerusi PKR Terengganu hanya mempertahankan kerusi DUN Bandar bagi tempoh sepenggal dan kalah kepada calon PAS dalam PRU14.

PH dan BN Umno dijangka akan mengumumkan hasil rundingan pengagihan kerusi (DUN) di enam negeri selepas Aidilfitri atau sebelum hujung bulan ini.

Usaha itu bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Ogos.

Kesemua enam negeri yang bakal mengadakan PRN dijangka membubarkan DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun.

Menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran itu. – 9 Mei, 2023.

Iklan
Iklan