Kerajaan serap kos pengangkutan KRIM 2.0, kata menteri
Iklan
HARGA barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M 2.0) diselaraskan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak melalui penyerapan kos pengangkutan oleh kerajaan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, ia dilakukan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai salah satu langkah untuk memastikan harga barangan di kedai tersebut berada di bawah harga pasaran.
“Dengan meletakkan peruntukan untuk syarikat pengangkutan untuk menghantar produk tersebut, ia menunjukkan sebahagian usaha yang diambil oleh pihak KPDNKK.
“Ia juga menampakkan hasil yang bagus dalam mengurangkan harga (barangan),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan KR1M 2.0 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.
KR1M 2.0 di TBS merupakan sebahagian daripada 52 buah KR1M 2.0 yang telah dan akan beroperasi mulai Februari tahun ini.
Ahmad Zahid berkata, usaha tersebut dilakukan memandangkan kos pengangkutan sering menjadi salah satu faktor yang menyebabkan harga barangan meningkat.
“Kita dah hapuskan dasar kabotaj di mana dasar ini memberikan sedikit bebanan kepada rakyat yang jadi pelanggan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Pelaksanan KR1M 2.0 dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan syarikat runcit seperti pasaraya TMG, rangkaian kedai runcit KK Super Mart atau entiti peruncitan lain yang berwibawa tanpa bantuan kewangan daripada pihak kerajaan.
KR1M 2.0, dengan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan terhadap skim lama yang ditamatkan pada September 2017, dilancarkan pada 4 Februari lepas.
Sebanyak 50 barangan keperluan harian pelbagai jenama akan disenaraikan di bawah inisiatif meningkatkan kuasa beli yang akan dibuat secara berperingkat.
Sebelum ini, kontrak Mydin sebagai pengendali KR1M digesa ditarik balik oleh Ahmad Zahid pada Julai tahun lalu kerana didapati menjual produk pada harga jauh lebih tinggi berbanding pasaran.
KR1M mula beroperasi pada 2011 bertujuan menjadi pilihan kepada rakyat berpendapatan rendah namun banyak aduan dilaporkan diterima berkaitan perasaan tidak puas hati berhubung harga dan barangan yang dijual. – 21 Mac, 2018.