Iklan

Kerajaan perpaduan kuat, PM cabar pembangkang fail usul tidak percaya di Parlimen

Dsai ANWAR PM
Anwar ketika berucap pada konvensyen nasional kerajaan perpaduan yang julung kali diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2023.
Iklan

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengulang gesaan agar pembangkang membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat jika merasakan kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sokongan yang mencukupi di Parlimen.

“Kerajaan perpaduan kini kuat.

“Kalau ada yang masih mengigau, saya nak bagi cadangan. Bawa usul ke Parlimen dan kita akan lawan di Parlimen minggu ini,” kata Anwar semasa berucap pada konvensyen nasional kerajaan perpaduan yang julung kali diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Cabaran Anwar terhadap pembangkang muncul ditengah-tengah perbincangan sejak beberapa minggu lalu di mana pembangkang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan.

Namun sehingga kini masih belum terbukti angka yang disebut-sebut atau usul undi tidak percaya yang difailkan di Parlimen.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata partinya tidak mempunyai perancangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul turut mengesahkan tiada usul tidak percaya yang dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang untuk persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu pada konvensyen hari ini, Anwar memuji komitmen Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen parti dalam membentuk kerajaan perpaduan yang kini dipimpinnya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata tanpa sokongan mereka, mustahil untuk membentuk kerajaan dan mendakwa sejarah negara pasti akan berubah.

“Saya nak beritahu kalaulah tidak kerana komitmen Ahmad Zahid selaku presiden Umno, dan dukungan ahli Parlimen Umno sejarah kita tentu berubah.

“Kita harus iktiraf peranan beliau dan Umno juga kalau daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam kerajaan kritikal itu, Abang Jo dan GPS penentunya,” katanya.

Konvensyen bertemakan “Madani – Mewajahi Masa Depan Malaysia” sebahagian usaha memupuk perpaduan dalam kalangan bekas parti pesaing tersebut menjelang pilihan raya yang akan berlangsung di enam negeri. – 14 Mei, 2023.

Iklan
Iklan