Iklan

Mukhriz cabar bekas pegawai medianya kemukakan bukti

Yasmin Ramlan7 years ago21st Mar 2018Berita
Iklan

MUKHRIZ Mahathir mencabar bekas pegawai medianya Azrin Azril supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan Cambridge Analytica (CA) ketika Pilihan Raya Umum 2013.

Timbalan presiden Bersatu itu turut menantikan bukti daripada Azrin bahawa beliau pernah berkhidmat dengannya ketika menjawat jawatan menteri besar Kedah.

“Saya mengalu-alukan dia mengemukakan bukti-bukti yang didakwanya itu. Sebab dia kata bahawa saya pula yang menipu kononnya saya mengaku bahawa Cambridge Analytica dan SCL Group ini telah memberi perkhidmat juruperunding kepada Barisan Nasional Kedah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azrin dalam kenyataannya hari ini menafikan beberapa penjelasan yang dibuat oleh mukhriz sebelum ini mengenai kaitannya dengan firma data raya dan perunding politik itu serta tempoh perkhidmatannya dengan Mukhriz.

Azrin turut menyatakan bahawa beliau akan mengemukakan bukti sekiranya Mukhriz terus-menerus menafikannya.

“Saya memang nanti-nantikan apa bukti yang beliau nak buktikan dan juga apa bukti bahawa dia kononnya menjawat jawatan pegawai media saya sewaktu saya menteri besar.

“Walhal saya kira semua wakil-wakil media (yang) berkhidmat di Kedah tahu bahawa pegawai media saya adalah seorang yang bernama Fisol,” katanya.

Tambahnya lagi, semua wakil media di Kedah sudah sedia tahu mengenai Fisol sebagai pegawai medianya sehingga ke hari ini.

“Sampai ke hari ini Fisol lagi. Tak payah tanya saya, tanya saja wakil media yang berkhidmat di Kedah,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau kekal dengan kenyataannya sebelum ini bahawa dakwaan sedemikian terhadapnya adalah palsu semata-mata.

“Itu satu penipuan, saya berdiri teguh mempertahankan kenyataa-kenyataan saya sebelum ini,” katanya.

Beliau sebelum ini menjelaskan bahawa Azrin pengarah SCL Group yang juga pegawai medianya sebelum ini hanya berkhidmat dengannya ketika beliau memegang jawatan timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri antara 2009 dan 2013.  – 21 Mac, 2018.
 

Iklan
Iklan