Beri lebih banyak kemudahan galak wanita kembali bekerja, kata kumpulan
Iklan
PERTUBUHAN wanita memuji pengumuman Putrajaya untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 bagi menyediakan bantuan kewangan penjagaan kanak-kanak kepada wanita yang kembali bekerja namun kata mereka lebih banyak lagi yang perlu diberikan oleh kerajaan.
Pengumuman oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja dan meningkatkan peratusan wanita dalam tenaga kerja kepada 59% menjelang 2025.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar sebelum ini berkata walaupun terdapat lebih ramai pelajar perempuan berbanding lelaki di universiti awam, bilangan pelajar perempuan yang memasuki tempat kerja selepas tamat pengajian hanya 55%, jauh lebih rendah daripada 80% pelajar lelaki yang memasuki alam pekerjaan.
Beliau juga berkata ramai pelajar perempuan tidak mahu bekerja selepas tamat pengajian kerana pelbagai isu domestik. Ada yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa setelah bekerja dalam tempoh tertentu.
Pengerusi sayap wanita Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Ong Soo Lee berkata ia sesuatu yang “sudah lama kita tunggu”.
“Walaupun jumlah bantuan kewangan itu tidak banyak dan ia bukan bantuan jangka panjang, saya bagaimanapun percaya ia akan menggalakkan wanita yang telah meninggalkan tempat kerja mahu kembali,” kata Ong kepada The Malaysian Insight.
“Kerajaan telah lama bercakap tentang menggalakkan wanita kembali ke tempat kerja, tetapi malangnya tidak menunjukkan keinginan sebenar untuk berbuat demikian.
“Dengan dasar ini, akhirnya kita dapat melihat perubahan.”
Ong berkata bantuan itu juga menunjukkan kerajaan mengambil berat tentang isu wanita tetapi berharap akan ada lebih banyak dasar untuk menyelesaikan masalah wanita untuk selama-lamanya.
Beliau menegaskan bahawa ramai wanita berpendidikan tinggi meninggalkan kerjaya mereka untuk keluarga selepas berusia 30 tahun atau selepas berkahwin selama dua atau tiga tahun.
“Mereka memilih untuk tinggal di rumah dan menjaga anak-anak mereka, ibu bapa atau datuk nenek yang sudah tua. Menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak atau orang tua ke rumah penjagaan bukan pilihan bagi kebanyakan mereka kerana ia mahal,” kata Ong.
Ong berkata kini langkah pertama telah diambil, kerajaan seterusnya perlu menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak berkualiti tinggi supaya ibu bapa dapat menghantar anak mereka ke sana dengan tenang.
Memberi subsidi kos menghantar anak mereka ke pusat-pusat ini akan memudahkan mereka, tambahnya.
Selain kanak-kanak, Ong juga berharap kerajaan mempunyai sesuatu untuk ibu bapa mereka yang sudah tua.
“Ibu bapa mereka yang semakin tua selalunya sering sakit dan memerlukan penjagaan dan perhatian tambahan. Jika kerajaan boleh membantu di sini, ia akan membuka jalan kepada lebih ramai wanita untuk kembali bekerja.” – 20 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.