Iklan

Penempatan semula bukan hak automatik pelarian, kata UNHCR

Kalidevi Mogan Kumarappaa year ago22nd May 2023Berita
50416429546 692827c429 b
Sejak Mac 2008, lebih 94,800 pelarian ditempatkan semula dari Malaysia ke negara ketiga, termasuk pelarian dari Myanmar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2023.
Iklan

PENEMPATAN semula bukan hak automatik untuk semua pelarian, kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia.

Jurucakap badan antarabangsa itu memberitahu The Malaysian Insight, penempatan semula terhad dan bergantung kepada bilangan tempat yang ditawarkan oleh negara ketiga.

“Penempatan semula bukanlah hak automatik untuk semua pelarian dan kurang daripada 1% pelarian dunia akan menerima tempat di negara ketiga,” katanya.

Jelasnya, negara penempatan semula ini berkuasa membuat keputusan berkaitan penempatan semula.

“Memandangkan bilangan tempat penempatan semula yang terhad di seluruh dunia, ia diutamakan untuk pelarian yang sangat terdedah dan mereka yang memerlukan perlindungan segera.

“Ia biasanya gabungan faktor ini yang menentukan sama ada seseorang diterima untuk penempatan semula,” katanya.

Beliau mengakui ketidakpastian mengenai masa depan pelarian akan sentiasa memberi kesan yang menghakis kepada kesihatan mental dan fizikal pemohon ini.

Oleh itu UNHCR amat menggalakkan kerajaan tuan rumah untuk menyediakan tempat suaka berlindung sementara mereka dapat pulang dengan selamat atau mencari rumah di negara ketiga.

UNHCR amat menggalakkan kerajaan tuan rumah untuk menyediakan tempat suaka berlindung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2023.

Menurutnya, sejak Mac 2008, lebih 94,800 pelarian ditempatkan semula dari Malaysia ke negara ketiga, termasuk pelarian dari Myanmar.

Manakala pada tahun 2022 sahaja, hampir 10,000 pelarian diserahkan untuk penempatan semula ke negara ketiga.

“Pada masa ini, kira-kira 20,000 pelarian di negara ini berada di pelbagai peringkat penempatan semula.

Minggu lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan sedang mempertimbang untuk mengadakan perjanjian dengan UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini.

Katanya, peranan itu juga selaras dengan mandat serta fungsi penubuhan suruhanjaya berkenaan supaya beban pengurusan pelarian tidak hanya dipikul kerajaan dan rakyat tempatan semata-mata.

“Kerajaan menghormati mandat dan penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, perlu diingatkan Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967,” katanya dalam satu kenyataan. – 22 Mei, 2023.

Iklan
Iklan