Iklan

TPM mahu graduan TVET dapat gaji minima RM3,500

Yasmin Ramlan7 years ago22nd Mar 2018Berita
Ahmad zahid hamidi tvet exposition pwtc 03
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Expo TVET Malaysia 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Mac, 2018.
Iklan

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mahukan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memperolehi pendapatan minima daripada RM1,200 ke sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Beliau berkata, jumlah itu setanding dengan pekerja mahir luar negara yang mana gaji mereka mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen dan Kementerian Sumber Manusia. 

“Sekarang minimum RM1,200. Nak naikkan ke RM3,500. Kenapa nak ambil pekerja luar (dengan) gaji RM3,500?

“Ia sangat tidak adil. Sebab itu saya tawarkan diri saya untuk mempengerusikan majlis ini supaya dapat mempromosikan TVET agar ia dinaiktarafkan,” katanya pada sidang media Expo TVET Malaysia 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. 

Beliau menjelaskan proses tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, negara mensasarkan 43% tenaga mahir menjelang 2030 bagi untuk mencapai seperti negara maju. 

Setakat ini, Malaysia mempunyai 28% tenaga mahir. 

“Ertinya, usaha mesti dilakukan oleh ketujuh-tujuh kementerian (yang terlibat dalam program ini) 

“InsyaAllah kalau dipersetujui Kabinet dan perdana menteri, sebelum 2030 kita kena capai lebih dari 43%. 

“Ketika itu gaji minimum bukan lagi RM3,500 tapi sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan,” katanya. 

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata sebanyak 69,475 orang atau 51% daripada 136,062 graduan TVET warganegara Malaysia bekerja sebagai profesional dan pekerja mahir hingga 2017.– 22 Mac, 2018.

Iklan
Iklan