Mais larang ahli politik berucap di masjid dan surau
Iklan
AHLI politik termasuk exco kerajaan negeri Selangor tidak lagi dibenarkan memberi ucapan di masjid dan surau, kata Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Mais menyampaikan arahan itu pada mesyuarat bersama pengerusi masjid dan surau di negeri itu.
Di Gombak, pertemuan wakil Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan pemimpin masjid dan surau dibuat di Masjid Al-Ehsaniah, Batu 16, Rawang pada Ahad lalu.
Dalam pertemuan itu, Mais diwakili Orang Besar Daerah Gombak Wan Mahmood Pa’wan Teh manakala Jais diwakili Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Idris Bin Ramli.
Dalam pertemuan itu, mereka diberitahu, semua masjid dan surau dilarang memberikan kebenaran kepada mana-mana ahli politik untuk memberikan ucapan di dalam masjid atau surau.
Ia termasuk menyampaikan khutbah Jumaat sebagaimana yang selalu dilakukan pemimpin PAS sebelum ini.
Mereka juga diarah jangan membenarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai tauliah mengajar agama di masjid dan surau.
Ketika ditanya adakah exco kerajaan negeri yang juga Adun Taman Templer Zaidy Talib yang kebetulan salah seorang wakil rakyat di kawasan berkenaan juga dilarang, orang besar daerah berkata: “Kalau tak boleh, tak bolehlah.”
Sehubungan itu, Zaidy membatalkan semua ucapannya termasuk kuliah dan tazkirah Ramadan di masjid dan surau di kawasannya.
Arahan itu dikeluarkan dipercayai susulan teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah yang berucap di dalam sebuah masjid di Kampung Melayu Subang, minggu lalu. – 6 Jun, 2017.