Jualan kipas, penyaman udara naik 3 kali ganda susulan cuaca panas
Iklan
JUALAN kipas, penyaman udara dan peralatan penyejuk rumah lain meningkat tiga kali ganda berikutan cuaca panas luar biasa, kata peniaga peralatan elektrik.
“Mana-mana perkakas yang menghasilkan udara sejuk mendapat permintaan,” kata presiden Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia (FOMEDA) Ng Chye Weng kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata peningkatan dalam jualan bermula hanya minggu lepas.
Sebahagian kawasan di negara ini mengalami gelombang haba.
Ng berkata perniagaan agak meningkat dengan luar biasa kerana ramai orang tidak dapat menahan cuaca panas.
Peningkatan jualan bagaimanapun, membawa sedikit masalah.
“Tiada juruteknik yang mencukupi untuk memasang penghawa dingin dan senarai menunggu adalah panjang,” kata Ng.
Beliau berkata pelanggan kini perlu membuat temujanji untuk memasang unit mereka. Dan tempoh menunggu katanya, boleh jadi dua minggu.
“Pembeli menyangka penyaman udara yang dibeli boleh dipasang pada keesokan harinya. Apabila diberitahu mereka perlu menunggu sehingga dua minggu untuk memasangnya, mereka pasti kecewa.”
Ng berkata mereka yang tidak sabar menunggu dua minggu memilih penyaman udara mudah alih.
Memandangkan musim panas semasa dijangka berlarutan sehingga September, peniaga tidak menang tangan kerana mereka memesan lebih banyak stok untuk memenuhi permintaan.
Ng berkata itu adalah berita baik dan buruk, bergantung pada peniaga.
“Stok model dan jenama popular semakin habis dengan cepat dan pengedar peralatan import mungkin tidak melihat stok baharu mereka tiba tepat pada masanya.
“Itu memberi peluang kepada peniaga jenama tempatan. Mereka mengambil peluang itu.”
“Dalam erti kata lain, tidak akan ada kesan ke atas bekalan kerana terdapat jenama lain untuk dipilih,” kata Ng.– 25 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.