Iklan

MCA merungut selepas dipinggirkan, kata penganalisis

Angie Tana year ago27th May 2023Berita
49935210508 5e43bc48ce b
MCA harus realistik dengan keadaan politik semasa Barisan Nasional dan parti komponennya, kata pakar politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2023.
Iklan

AMARAN MCA kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi beliau mesti berpegang kepada prinsip gabungan itu dan lebih berhati-hati dalam hubungannya dengan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai kes rungutan kecewa oleh penganalisis politik.

Mereka berkata BN lemah pada masa ini dan memerlukan sokongan parti PH termasuk DAP. Mereka juga berkata jika MCA berasakan ia terpinggir dalam BN, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula peranan mereka dalam gabungan itu.

Pakar politik Vincent Thock Kiah Wah berkata MCA harus realistik dengan keadaan politik semasa BN dan parti komponennya.

Beliau berkata BN terlalu lemah dan mereka memerlukan semua sokongan yang boleh mereka perolehi.

“Mereka berada dalam bot yang sama. Mereka mahukan sokongan dan undi. Jika anda mempunyai sokongan dan undi, anda mempunyai kekuatan dan mempunyai kekuatan bermakna mempunyai kuasa.

“Baik BN mahupun Umno dan MCA tidak mempunyainya (kuasa) pada masa ini. Reaksi MCA memang boleh dianggap sebagai kecewa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata MCA lemah dan terpaksa bergantung kepada Umno untuk mendapatkan kekuatan.

“Tetapi Umno sendiri juga berada dalam kedudukan yang sukar. Ia perlu bergantung kepada PH dan DAP untuk kekuatan.”

Thock berkata kedudukan politik MCA semakin surut dengan sokongan daripada asas sokongan tradisional mereka, pengundi Cina, semakin berkurangan.

“Jika MCA mendapat undi dan sokongan rakyat, sudah tentu ia bagus dan menarik. Realitinya mereka tidak.

“DAPlah yang mempunyai undi dan sokongan orang Cina, jadi Umno perlu mesra dengan DAP dan sokongan pengundi Cina yang diperlukan oleh calonnya di kawasan yang ditandingi dalam pilihan raya akan datang,” kata Thock merujuk kepada pilihan raya di enam negeri di semenanjung.

Ahmad Zahid Hamidi memberitahu MCA supaya tidak meremehkan percubaan Umno untuk mengukuhkan sokongan dalaman dan luaran parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2023.

Thock berkata Zahid cuba mengambil hati DAP adalah perkara biasa, dari segi politik.

“Beliau juga mesti melontarkan sokongan kepada parti itu dan memberi keyakinan pengundi Melayu kepada DAP.”

MCA, kata Thock, juga harus berdepan dengan realiti ia tidak lagi boleh bergantung kepada Umno dalam mencari jalan keluar daripada kemelut politik.

Berikutan kritikan setiausaha agung MCA Chong Sin Woon, Zahid membalas dengan memberitahu parti berasaskan Cina itu supaya tidak “meremehkan” percubaan Umno untuk mengukuhkan sokongan dalaman dan luaran parti.

Beliau mengingatkan ahli BN, khususnya MCA, supaya tidak bersikap remeh terhadap kerjasama semasa mereka dengan Umno dan semua parti harus menerima realiti politik baharu itu.

Zahid berkata Umno bekerjasama dengan kerajaan perpaduan semasa melalui pendekatan “perkongsian pintar”, dengan setiap parti dalam kerajaan menyokong satu sama lain.

Kaji semula kerjasama BN

Bagaimanapun, penganalisis politik veteran Cheah See Kian tidak bersetuju dengan pendapat Zahid.

Cheah berkata Umno tidak boleh mengorbankan rakan gabungan BN hanya kerana mahu menyokong PH.

“Umno mesti ingat peranan MCA dan MIC sebagai rakan gabungan pada masa lalu dan peranan yang boleh mereka mainkan pada masa hadapan.

“Umno mesti mengakui kewujudan mereka.”

Zahid katanya harus mengambil berat mengenai perasaan parti gabungan.

“Jika beliau tidak berbuat demikian, maka Zahid hanya perlu memberitahu MCA supaya meninggalkan BN.”

Cheah berkata MCA pada masa yang sama juga perlu meneliti semula kedudukannya dalam BN.

“Apakah peranan MCA dalam kerajaan perpaduan? Mereka tidak mempunyai wakil dalam kerajaan perpaduan dan mereka hanya menjadi parti yang sekadar memberi sokongan.”

Liew Wui Chern, pensyarah komunikasi massa di Universiti Tun Abdul Razak berkata, apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan, MCA sepatutnya mengambil tempat sebagai parti pembangkang dalam kerajaan perpaduan.

Setiausaha agung MCA Chong Sin Woon menyatakan Ahmad Zahid Hamidi patut utamakan komponen BN dan bukannya DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2023.

Beliau memberikan dua sebab.

Beliau berkata pertama, MCA harus mengekalkan “pendirian antagonis” dengan DAP jika mereka (MCA) mahu memenangi semula sokongan pengundi Cina yang semakin hilang.

Kedua, katanya, MCA harus memanfaatkan landskap politik semasa untuk membentuk semula pemikiran orang Cina terhadap parti itu.

“Dengan DAP dalam kerajaan, mereka pasti melakukan kesilapan dan apabila mereka melakukannya, mereka berkemungkinan besar akan dikritik oleh rakyat.”

Liew berkata, ini akan membuka pintu kepada MCA untuk mengeksploitasi situasi politik dan cuba memikat orang Cina kembali.

Beliau percaya MCA perlu bertindak bijak kerana mereka menyedari kerajaan perpaduan berdepan beberapa isu yang sukar untuk ditangani, seperti isu perkauman.

“Ya, MCA harus mengambil jalan bukan konvensional, meletakkan diri mereka sebagai pembangkang dalam pakatan pemerintah.”

Liew berkata MCA boleh dan sepatutnya, bertindak seperti parti pembangkang kerana parti itu bertukar menjadi parti nyamuk.

“Pengaruh mereka semakin berkurangan.”

Sedikit sokongan yang tinggal buat MCA adalah sebahagian pengundi Melayu dan komuniti perniagaan Cina, tegasnya.

Beliau berkata bagi MCA mempunyai peluang yang realistik dalam pilihan raya negeri akan datang, ia adalah di kawasan pilihan raya yang mana orang Melayu membentuk 60% daripada pengundi.

“Sekali lagi, kawasan majoriti Melayu ini biasanya diperuntukkan kepada Umno dan dalam susunan politik semasa, kepada Amanah atau PKR.

“Tiada peluang buat MCA.” – 27 Mei, 2023.

Iklan
Iklan