Harga makanan, minuman tak naik dengan harga baharu gula, kata pengusaha
Iklan
INDUSTRI memberi jaminan harga makanan dan minuman tidak akan naik susulan pengumuman harga gula putih bertapis jernih baharu yang menjadi kebimbangan orang ramai.
Mereka berkata tetap akan menggunakan gula kasar harga kawalan dalam makanan dan minumkan dikeluarkan.
Namun mereka memberi amaran harga minuman berkarnbonat dalam tin mungkin akan naik dengan harga baharu gula itu.
“Ahli kepada Gabungan Persatuan Penjaja Selangor dan Kuala Lumpur tidak menggunakan gula putih halus ditapis dalam penyediaan makanan dan minuman mereka,” kata ketua unit aduannya, Boon Kok Choon kepada The Malaysian Insight.
Boon berkata mereka menggunakan gula kasar harga kawalan.
“Jadi, gula putih bertapis yang diapung ini seharusnya tidak memberi kesan kepada harga makanan dan minuman,” katanya.
Beliau memberi amaran harga minuman berkarbonat dalam tin mungkin akan naik kerana gula putih halus jernih adalah bahan utama dalam pengeluaran tersebut.
“Tapi bagi mereka yang kerap makan di luar boleh tenang harga baharu gula putih bertapis ini tidak akan menyebabkan harga makanan dan minuman naik,” katanya.
Media sosial sebelum ini riuh apabila kerajaan mengumumkan kelulusan terhadap permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga akan ditentukan oleh kuasa pasaran,
Mereka mendakwa keputusan kerajaan akan menjadi lesen kepada pengusaha kedai kopi untuk menaikkan semula harga makanan dan minuman mereka.
Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) Wong Teu Hoon memberitahu pihaknya tidak menggunakan gula putih bertapis jernih itu kerana lebih mahal.
“Kami tidak menggunakan gula bertapis itu. Ia mahal. Kami hanya menggunakan gula putih kasar biasa yang lebih murah.
“Jadi harga makanan dan minuman di kedai kopi tidak akan naik,” kata Wong
Harga gula putih bertapis untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (gula putih bertapis kasar) dan RM2.95 sekilogram (gula putih bertapis halus) sementara gula putih bertapis jernih dijangka dijual pada harga antara RM4.20 hingga RM4.60 sekilo.
Wong berkata jika harga gula kasar juga diserahkan kepada kuasa pasaran, “maka kita akan betul-betul sakit kepala.” – 28 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.