Iklan

BN akan kaji dasar perumahan mampu milik kerajaan Selangor, kata Najib

Melati A. Jalil7 years ago24th Mar 2018Berita
Najib razak 240318 tmiseth 03
Perdana Menteri Najib Razak menghadiri 'Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Mac, 2018.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) akan mengkaji semula syarat tambahan kerajaan negeri berhubung projek perumahan yang menyebabkan kos pembinaan melambung jika ia berjaya menawan semula negeri itu, kata Perdana Menteri Najib Razak.

“Jika diberi tanggungjawab mentadbir Selangor, kami akan mengkaji syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri, bukan sahaja kepada rumah PR1MA tetapi juga pemaju lain.

“(Pemaju) menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap syarat-syarat tambahan. Mereka berkata keadaan itu menyebabkan kos pembinaan naik dan rakyat perlu menanggung beban itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri “Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian “di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 6 Mac, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar memberitahu Dewan Rakyat yang usaha kerajaan persekutuan menyediakan rumah mampu milik terhalang dengan dasar kerajaan Selangor, terutama melibatkan perubahan status tanah, dan harga tanah yang mahal.

Katanya, sejumlah 60,000 unit rumah PR1MA dirancang dibina di Selangor, tetapi hanya 7,000 boleh siap dengan 27,000 lagi dalam pembinaan.

Sementara itu, Najib menambah kerajaan persekutuan tidak mengabaikan negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor untuk membina rumah mampu milik kerana banyak projek sedang dijalankan di pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Ini termasuk 1,017 unit di Permatang Pauh, 1,248 unit di Batu Feringgi dan 2,387 unit di Bukit Gelugor,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 139,338 rumah mampu milik berjaya disiapkan dan 311,281 lagi rumah dalam pembinaan, dengan baki unit dalam peringkat perancangan.

Beliau berkata setakat ini, Ahli Perbadanan PR1MA (MOC) meluluskan lebih 267,640 rumah di seluruh negara untuk pembangunan dan 16,000 rumahnya sudah didiami, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM4 bilion dalam tempoh kurang dua tahun. – 24 Mac, 2018.

Iklan
Iklan