Iklan

Rundingan kerusi BN-PH di Kelantan, Terengganu sangat kompleks, kata Nik Nazmi

Diyana Ibrahima year ago18th Jun 2023Berita
Nik nazmi tmikamal 01
Menurut Nik Nazmi, pimpinan parti perlu mempertimbangkan parti yang boleh beri kemenangan lebih dalam PRN kali ini bagi rundingan kerusi di Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2023.
Iklan

NAIB Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad akui rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) sangat kompleks terutama di Terengganu dan Kelantan. 

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan dan Terengganu berkata kesulitan itu disebabkan PRN kali ini hanya tertumpu kepada enam negeri sahaja.

“Jadi bila fokus di enam negeri sahaja dan dibuat secara serentak maka setiap rundingan itu ada timbal balas.

“Sebab itu itu setiap negeri pendekatan rundingan adalah tidak sama,” katanya pada sidang media selepas program temu mesra di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan rundingan kerusi bagi BN-PH.

Menurut Nik Nazmi, bagi rundingan kerusi di Terengganu pimpinan parti perlu mempertimbangkan parti yang boleh beri kemenangan lebih dalam PRN kali ini. 

“Dulu masa PKR bersama PAS, kita tengok PAS parti yang ada sejarah lama di negeri dan mereka ada kawasan tradisional, tapi masih ada banyak ruang untuk PKR bertanding.

“Berbeza dengan Umno sejak 1946, Terengganu memang kubu kuat mereka jadi agak rumit untuk kita (PKR) parti yang lebih muda, begitu (juga) dengan Amanah,” katanya.

Beliau turut akui kesulitan tersebut menyebabkan rundingan kerusi masih lagi belum dapat dimuktamadkan.

Namun katanya, pimpinan tertinggi komited untuk memuktamadkan segera pembahagian kerusi tersebut memandangkan pembuburan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlaku pada hujung bulan ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi enam negeri hampir selesai dan hanya sembilan kawasan DUN belum dimuktamadkan.

Beliau berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi sudah selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH.

Asyraf Wajdi yang juga ketua sekretariat kerajaan perpaduan berkata baki sembilan kerusi DUN yang masih bertindih akan dimuktamad oleh kepimpinan tertinggi parti. – 18 Jun, 2023.

Iklan
Iklan