Pemaju hartanah masih bergelut untuk bangkit, kata pemain industri
Iklan
BERDEPAN kekurangan tenaga kerja yang berterusan dan kos bahan binaan yang melambung tinggi mungkin menjadi faktor industri pembinaan mengambil masa dua hingga tiga tahun lagi untuk kembali seperti sebelum Covid-19 melanda.
Menurut mereka, institusi kewangan menambah lagi kesukaran apabila berhati-hati dalam memberi pinjaman ketika industri masih goyah.
Pengerusi Persatuan Pembinaan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Chua Hang Long berkata pemaju terpaksa menjual hartanah yang tidak terjual untuk mendapatkan tunai bagi membina projek baharu.
“Kami perlu jual untuk pulih. Malangnya, sesetengah pemaju sukar untuk jual hartanah mereka. Hartanah yang sudah siap tidak dapat dijual,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Chua, salah satu alasan kerana pembeli sukar mendapatkan pinjaman bank.
“Jadi, walau ada pembeli yang berminat, permohonan pinjaman dia kemungkinan besar tidak diluluskan pada masa ini. Akhirnya hartanah kami tidak terjual.
Chua berkata, keadaan ekonomi negara yang merosot juga antara kebimbangan mereka.
“Tidak ramai pelabur maka kurangnya yang berminat untuk membeli dan meyewa hartanah,” katanya.
Menurutnya lagi, kitaran perniagaan kini berubah menjadi ‘ganas’ dengan banyak ketakutan dan ketidakpercayaan bahawa tiada pemaju hartanah sanggup atau cukup berani untuk mengeluarkan sejumlah besar wang mereka sendiri untuk membiayai projek baharu.
“Jika kita mahu memulakan pembinaan, kita mesti mengeluarkan sejumlah wang yang besar tetapi ekonomi baru pulih.
“Jadi sesetengah daripada kita takut untuk mengambil risiko dan lebih suka menunggu dan melihat apa yang akan berlaku. Saya tahu itu akan memperlahankan pemulihan.
Kata Chua, kekurangan tenaga buruh dan kos bahan binaan yang melambung tinggi juga merupakan faktor utama yang mempengaruhi pemulihan industri.
“Selepas wabak, harga semuanya meningkat dua kali ganda. Gaji pekerja meningkat 100% dan bahan binaan meningkat antara 50% hingga 75%,” katanya.
Beliau berkata disebabkan kos yang meningkat, sesetengah pemaju mengambil keputusan untuk tidak menyambung semula projek yang dimulakan sebelum pandemik.
Beliau berkata adalah lebih baik mereka berputus asa dan tidak mulakan daripada kemudiannya dibebani dengan masalah baharu yang boleh mengheret syarikat mereka.
Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Oliver Wee Hiang Chyn turut senada dengan Chua sambil menyifatkan tempoh dua atau tiga tahun itu adalah anggaran yang munasabah.
“Kami masih bergantung kepada projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mencapai keseimbangan,” katanya.
Namun bagi Wee, halangan terbesar pemulihan industri ialah kekurangan projek baharu selain kehilangan profesional muda yang berpindah ke industri lain atau memilih untuk bekerja di luar negara serta peningkatan jumlah pertikaian melibatkan kos perundangan dan pentadbiran.
“Kami mendapati pertikaian ini semakin meningkat dan ia dicerminkan dalam laporan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Wee berkata sementara pemaju menunggu pemulihan penting bagi mereka untuk menyiapkan kerja yang belum selesai.
“Secara ringkasnya, pemaju mesti memantapkan diri mereka terutamanya dari segi pembiayaan dan sumber untuk menyediakan projek baharu,” katanya. – 19 Jun, 2023.