Kerajaan perlu hati-hati ubah dasar subsidi, kata pakar
Iklan
PAKAR ekonomi menggesa Putrajaya supaya bertindak perlahan apabila melancarkan mekanisme bantuan sosialnya berdasarkan pendapatan boleh guna bersih yang dijadualkan tahun depan.
Mereka semua bersetuju penghapusan subsidi perlu dibuat secara beransur-ansur dalam tempoh peralihan yang ditetapkan untuk mengurangkan kesan ekonomi yang boleh mencetuskan kemarahan orang ramai.
Lim Hock Eam dari Universiti Utara Malaysia berkata tempoh peralihan adalah satu keperluan.
“Masih terdapat banyak ketidaktentuan dalam negara dan ekonomi dunia.
“Sekiranya penghapusan subsidi adalah satu kemestian, maka perlu ada beberapa siri pakej keluar yang harus dilaksanakan secara perlahan-lahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lim berkata sebagai contoh, penghapusan subsidi boleh bermula bulan depan pada kadar 10% sahaja, kemudian 10% lagi pada tempoh lain yang ditentukan dan seterusnya sehingga ia dihapuskan sepenuhnya.
“Penghapusan subsidi secara berperingkat akan menjadi pilihan yang lebih baik,” tambahnya, merujuk kepada kesukaran banyak kerajaan di seluruh dunia mengalami pembaharuan subsidi.
Kebimbangan mereka yang paling teruk ialah tindak balas politik kerana pengguna akan merasai tekanan kenaikan harga yang sering membawa kepada bantahan awam yang meluas.
Lim berkata di Malaysia, tindak balas adalah nyata “kerana subsidi telah berlaku terlalu lama”.
Beliau memberi contoh seorang perokok tegar apabila terpaksa berhenti sudah tentu dia agak sukar untuk melakukannya.
Penganalisis ekonomi Koong Lin Loong bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengubahsuai dasar subsidi di bawah pendekatan subsidi bersasar baharu.
Beliau berkata tumpuan pendekatan subsidi bersasar baharu ini adalah subsidi bahan api.
Seperti Lim, Koong juga berkata sebarang mekanisme baharu mesti dilaksanakan secara beransur-ansur.
“Perlu ada tempoh masa. Ia tidak sepatutnya dikeluarkan sekaligus.” – 23 Jun, 2023.