Iklan

Keputusan PRN boleh beri kesan kerjasama dalam kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Diyana Ibrahima year ago25th Jun 2023Berita
Political party flags 061122 tmiseth-2 (1)
Penganalisis politik berkata keputusan PRN di enam negeri boleh memberi kesan hubungan kerjasama antara parti politik dalam kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun 2023.
Iklan

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka boleh memberi kesan hubungan kerjasama antara parti politik dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini, kata penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Mohd Yusri Ibrahim.

Beliau berkata jangkaan senario politik itu berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pasca PRU15 di beberapa negeri.

Jelasnya hasil pemerhatiannya mendapati Umno dan DAP akan paling menerima kesan dalam PRN kali ini.

“Dua parti ini akan terkesan sama ada keputusan PRN akan menambah kekuatan terhadap dua parti ini atau sebaliknya,” katanya dalam satu forum PRN enam negeri: Hipotesis-hipotesis awal hari ini.

Forum itu merupakan anjuran fakulti Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT.

Menjelaskan lagi hujahnya Umno akan paling terkesan kerana PRN kali ini dilihat sebagai medan ujian yang sangat besar bagi parti itu dalam survival politiknya.

“Selepas PRN Umno sudah tentu mereka akan memikirkan hala tuju destinasi politik. Jika mereka mendapat sokongan yang lebih baik berbanding PRU15 kemungkinan parti itu berada dalam landasan yang betul.

“Dan keberadaan Umno dalam PH juga dalam kerajaan perpaduan akan kekal,” katanya.

Namun jika keputusan menunjukkan sebaliknya terutama penolakan besar khususnya daripada pengundi Melayu maka parti itu akan mempertimbangkan semula kerjasama mereka bersama PH.

Beliau berkata begitu juga dengan DAP kerana kerjasama kali pertama bersama Umno dalam PRN kemungkinan akan ditolak pengundi tegar mereka.

“Sekiranya keputusan positif tidak akan ada apa berlaku. Tapi jika ada penolakan sudah tentu DAP akan kembali memikirkan semula kerjasama demi survival politkn parti mereka.

“Dan ini pernah dilakukan DAP pada 2004 apabila mereka pernah keluar daripada gabungan Barisan Alternatif,” katanya.

Barisan Alternatif merupakan gabungan parti politik antara DAP, PKR, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU 1999.

Oleh itu beliau berkata biarpun PRN berlaku di enam negeri sahaja namun ia sangat signifikan dan relevan dimana ia mampu menstabilkan kerajaaan di peringkat persekutuan atau sebaliknya.

“Sebab itu PRN boleh ubah landskap politik negara secara keseluruhan. Sekarang ini kerajaan terdiri daripada gabungan parti politik.

“Sebarang perubahan koalisi keluar masuk parti yang boleh mengubah kerajaan itu tidak bertentangan dengan Rang Undang- Undang (RUU) lompat parti,” katanya.

Sebelum ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan berkata PRN yang akan berlangsung di enam negeri tidak menjejaskan kerajaan perpaduan walau apapun keputusannya.

Beliau berkata ia disebabkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangat stabil kerana memperoleh dua per tiga majoriti bersamaan 148 daripada 222 kerusi Parlimen. – 25 Jun 2023.

Iklan
Iklan