Iklan

Sanusi macam Trump, digemari rakyat Kedah, kata penganalisis

Diyana Ibrahima year ago27th Jun 2023Berita
Sanusi tmi
Penganalisis berkata gaya personaliti politik yang ditonjol Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mendapat sokongan daripada pengundi tegar terutama penyokong PAS dan PN di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2023.
Iklan

WATAK pemimpin populis dan lantang bersuara seperti ditonjolkan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor sesuai dan menepati selera rakyat Kedah, kata penganalisis politik.

Penganalisis Mohd Yusri Ibrahim berkata kajiannya di negeri tersebut mendapati majoriti rakyat Kedah terutama penyokong tegar Perikatan Nasional (PN) tiada masalah untuk menyokong Sanusi.

“Daripada kajian kita di lapangan sebenarnya mendapati gaya personaliti politik yang ditonjol Sanusi ini dapat sokongan dari pengundi tegar terutama penyokong PAS dan PN di Kedah.

“Ini kerana Sanusi sangat memahami sosio budaya rakyat Kedah yang suka pemimpin lantang, berani mempertahankan prinsip.

“Ia memberi perspektif baik untuk beliau terus membina sokongan di Kedah,” kata pengkaji dari Universiti Malaysia Terengganu itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata karakter begitu memberi kelebihan kepada naib presiden PAS itu untuk mengukuhkan kedudukannya di Kedah.

Malah penganalisis itu menjangkakan Sanusi akan terus diberi kepercayaan untuk terus memimpin Kedah sekiranya PN berjaya mengekalkan kedudukan mereka di negeri tersebut.

Namun dari sudut lainnya, gaya personaliti Sanusi dilihat akan terus membina jurang lebih besar bagi kumpulan pengundi atas  pagar di negeri tersebut.

“Kumpulan pengundi atas pagar, pengundi yang mengundi berdasarkan penilaian prestasi akan terus menjauhi bila Sanusi terus dengan personaliti yang begitu.

“(Watak Sanusi) berbeza dengan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Samsuri yang boleh menarik sokongan pengundi atas pagar dan menyokong berdasarkan prestasi,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan Sanusi itu menyebabkan pengundi yang mungkin mahu beralih kepada PAS akan memikirkan kembali sokongan mereka.

Seperti contoh kenyataan kontroversi Sanusi baru-baru ini yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

“Kenyataan beliau itu menyebabkan pengundi segmen Melayu terutama di Seberang Perai, Pulau Pinang yang baru mula berjinak-jinak dengan PAS mungkin akan menolak kembali PAS kerana isu itu,” katanya.

Pada masa sama beliau meramalkan PN akan terus mempertahankan kedudukannya di Kedah walau menghadapi persaingan sengit dengan PH dan BN.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb pula berpendapat, Sanusi calon sesuai daripada PN untuk memimpin Kedah dari segi populariti.

Ia kerana Sanusi memberi imej dan persepsi bahawa beliau adalah seorang pemimpin populis dan tidak bersikap elitis.

Ujarnya imej begini sebenarnya amat dekat dengan masyarakat akar umbi.

“Kita boleh lihat banyak persamaan antara Sanusi dan bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam memainkan persepsi dan imej ini.

“Sanusi berkelakuan demikian kerana ia popular dengan penyokong beliau dan juga ramai orang di Kedah.

“Persepsi negatif orang luar tidak penting sama sekali buat beliau. Sama sahaja seperti Donald Trump,” katanya. – 27 Jun, 2023.
 

Iklan
Iklan