Menghadapi hakikat yang sebenarnya
Iklan
KEBANYAKAN rakyat Australia bangun hari ini dengan berita yang mengejutkan bahawa beberapa pemain kriket kebangsaannya tertangkap mengubah suai bola dalam perlawanan ujian menentang Afrika Selatan.
Di negara yang menghormati wira sukannya dan pemain kebangsaan kriket ada kedudukan yang lebih tinggi berbanding pemimpin politik atau tokoh korporat, berita ini diterima sebagai sesuatu yang sangat memalukan negara.
Semua orang merasa malu, daripada rakyat biasa sampailah kepada mereka yang menentukan pandangan umum. Mereka mahu pemain kriket terlibat dihukum dan dihukum dengan berat. Banyak juga yang mendesak agar Steve Smith dilucut daripada kedudukannya sebagai kapten.
Tidak ada sesiapa pun yang cuba meremehkan perbuatan mengubahsuai bola yang digunakan dalam perlawanan, yang bertentangan dengan semangat dan peraturan permainan.
Tidak ada sesiapa pun cuba memberi alasan atau menyalahkan konspirasi asing atas perbuatan yang ketara curang ini.
Untuk berlaku adil, Smith dan pemain berkenaan, Cameron Bancroft yang sebenarnya angkat tangan mengaku mereka menipu.
Reaksi di Australia itu boleh difahami.
Mereka tahu perbuatan menipu ini memberikan gambaran yang buruk tentang negara mereka. Mereka tahu ia menjejaskan reputasi negara di seluruh dunia.
Bagaimana dengan kita?
Cara rakyat Australia memberi reaksi kepada penipu dalam kalangan mereka menyebabkan kita kasihan melihat sebahagian besar rakyat Malaysia.
Kita ini dikelilingi penyamun, fanatik dan mereka yang mencemarkan nama Malaysia di serata dunia tetapi kita masih boleh menerima mereka.
Lebih buruk lagi, kita mendengar celoteh mengarut mereka setiap hari. Mereka tidak menunjukkan rasa malu, atau bersalah atau menyesal.
Malah, mereka berlagak kononnya mereka teraniaya atau difitnah. Lihat saja keseluruhan saga 1MDB sejak ia mula terbongkar.
Dan apa yang kita buat?
Kita beri bermacam-macam alasan untuk melindungi mereka yang memalukan nama Malaysia. Kita menganggap perbuatan mereka yang memalukan itu tidak ada kesan kepada kita.
Setiap kali kita bertolak ansur dengan hal-hal yang merepek dan pencurian ini, kita memberitahu generasi baru Malaysia bahawa tidak mengapa kalau memalukan negara; tidak mengapa kalau menutup sebelah mata kepada penyelewengan dan kejahatan. – 25 Mac, 2018.