Kejatuhan ringgit jadikan rakyat Malaysia pelancong bajet
Iklan
KEJATUHAN nilai ringgit menyebabkan rakyat Malaysia yang mahu melancong secara bajet mengelak pergi ke negara yang matawangnya tinggi.
Sebaliknya mereka memilih untuk melancong ke negara yang boleh menawarkan nilai lebih baik untuk ringgit, menurut agensi pelancongan.
Antara negara yang berada dalam senarai popular pada masa ini adalah Vietnam, Indonesia dan Taiwan, kata Presiden Persatuan Pelancongan Cina (MCTA) Paul Paw kepada The Malaysian Insight.
Sebelum ini, antara negara jiran yang popular untuk dikunjungi rakyat Malaysia adalah Singapura dan Thailand, katanya.
Malah negara yang matawang lebih rendah berbanding Malaysia tetapi menggunakan dolar AS dalam perdagangan dengan warga asing seperti Kemboja, Myanmar dan Laos – kini juga kurang mendapat sambutan daripada pelancong Malaysia.
“Rakyat Malaysia tidak lagi ke negara ini. Pelancong dari Malaysia kini memilih untuk ke negara yang murah tetapi pemandangannya indah,” kata Paw.
Kejatuhan ringgit menyebabkan kos perjalanan ke luar negara meningkat antara 30% hingga 40%, katanya.
Kadar tukaran matawang terkini ialah RM4.66 berbanding AS$1.
Paw berkata pelancong dari Malaysia akan mengambil kira tiket penerbangan murah, pengangkutan, kos ke tempat menarik dan paling penting makanan murah, apabila merancang untuk percutian ke luar negara.
Katanya, Thailand semakin tidak menarik kepada sebahagian rakyat Malaysia kerana kadar tukaran ringgit ke baht lebih berpihak kepada matawang Thailand.
“Nilai baht semakin naik.”
Paw berkata sebelum ini rakyat Malaysia membayar antara RM7 dan RM8 untuk semangkuk mi berharga 100 baht di Bangkok. Sekarang katanya, nilainya antara RM12 dan RM13.”
Katanya, apabila sempadan negara dibuka semula selepas pandemik Covid-19, orang ramai berpusu-pusu ke luar negara selepas bosan terkurung.
“Ramai memilih ke luar negara.”
Paw berkata kos pakej perjalanan ke Eropah dan AS juga naik antara 30% dan 40%.
Katanya, dalam situasi kewangan ini, tidak mengejutkan jika rakyat Malaysia kembali menjadi pelancong bajet. – 30 Jun, 2023.
Berita penuh di sini.