Rumah mampu milik PR1MA di ekspo KL masih di luar jangkau
Iklan
JANJI pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada 2013 mahu membina sejuta rumah mampu milik bernilai antara RM100,000 hingga RM400,000 tidak kesampaian apabila pasaran yang disasarkan hanya ada gaji yang cukup untuk membeli kediaman berharga di bawah RM250,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Abdul Mutalib Alias berkata kediaman pada harga itu merupakan 60% daripada rumah mampu milik yang ditawarkan pada ekspo anjuran kerajaan itu minggu ini.
Tetapi banyak bakal pembeli kecewa kerana tidak banyak kediaman berharga di bawah RM250,000 dijual dalam ekspo itu, yang berlangsung beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Muhammad Faiz, 28, dari Taman Desa, Kuala Lumpur antara bakal pembeli yang kecewa itu.
Jurutera itu mencari kediaman yang berharga dalam lingkungan RM180,000 hingga RM200,000 tetapi paling murah yang ada ialah pangsapuri berharga RM230,000.
Katanya, beliau tidak mampu membeli rumah yang berharga lebih RM200,000 kerana pendapatan isi rumah keluarganya hanya RM5,000 sebulan.
“Saya datang nak tengok-tengok harga rumah. Saya cari rumah yang dekat dengan tempat kerja di Ampang.
“Rumah antara RM250,000 dan RM300,000 masih mahal untuk orang macam saya yang kerja swasta,” katanya.
Sentimennya itu senada dengan pandangan pakar hartanah sebelum ini bahawa kediaman berharga lebih RM250,000 tidak terjangkau dimiliki oleh banyak rakyat Malaysia.
Bank Negara Malaysia (BNM) juga mendapati harga median rumah ialah RM313,000, seperti yang dikira pada 2016, masih tidak mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Menurut bank pusat itu ada yang tidak padan antara permintaan dan penawaran dalam pasaran hartanah.
Misalnya, dari 2016 hingga suku pertama 2017, hanya 24% perumahan baru berharga di bawah RM250,000, harga yang mampu dimiliki oleh 35% isi rumah Malaysia.
BNM menganggarkan maksimum harga rumah mampu milik di negara ini ialah RM282,000 berdasarkan pada pendekatan beban kos perumahan.
Mimpi tidak terjangkau
Ekspo Jualan Perumahan – ke Arah Sejuta Impian yang diuar-uarkan sebagai ekspo perumahan terbesar di Malaysia itu menawarkan lebih 600,000 unit kediaman termasuk apartmen untuk dijual.
Ia termasuk 267,640 unit PR1MA dan selebihnya daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Syarikat Perumahan Negara Bhd; Rumah Wilayah Persekutuan dan Projek Perumahan 1Malaysia untuk penjawat awam.
Lim Lee Yean, 57, yang mencari rumah untuk anak lelakinya berkata beliau tidak jumpa rumah dalam lingkungan antara RM100,000 hingga RM200,000.
“Anak saya sudah kerja tujuh tahun, pendapatannya RM4,000 sebulan. Bagi saya, rumah yang harganya lebih daripada RM200,000 mahal. Saya cari rumah berharga RM100,000 tetapi sudah habis,” katanya.
Pesara, K. Yohanathan, 70, juga mahu membantu anak-anaknya membeli rumah pertama mereka dengan tolong membayar duit mukanya.
“Rumah mampu milik sepatutnya berharga tidak sampai RM250,000 kerana kalau gaji RM5,000 sebulan, susah untuk beli rumah, kos hidup tinggi,” katanya.
“Saya fikir hendak tolong anak-anak dengan bayaran muka,” katanya, menambah pendapatan anak-anaknya tidak cukup untuk mereka membeli rumah sendiri.
Wan Muhammad Fikri, 30, berharap kerajaan menimbang semula harga rumah mampu milik kerana katanya banyak orang yang sebaya dengannya tidak mampu membeli kediaman pertama.
“Saya tidak mampu beli rumah berharga RM300,000, malah RM250,000 pun mahal. Tetapi saya perlu timbang juga rumah harga begini kerana saya sudah tunggu enam tahun untuk beli rumah,” katanya.
Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion di bawah Bajet 2018 untuk membantu agensi-agensinya membina lebih banyak rumah mampu milik. RM1.5 bilion diperuntukkan kepada PR1MA untuk membina lebih 210,000 unit kediaman berharga tidak lebih RM250,000 dalam masa dua tahun ini.
Peruntukan itu juga akan digunakan untuk 17,300 unit rumah kos rendah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 3,000 unit untuk Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Nasional Bhd (SPNB).
Khoo, seorang pegawai tadbir, berkata rumah berharga RM300,000 adalah yang paling maksimum mampu dibelinya kerana gajinya mampu setakat itu.
“Saya mahu rumah bertanah tetapi kalau tiada pilihan saya terpaksa beli apa yang termampu.
“Saya tidak fikir saya boleh tunggu lama lagi kerana makin lama harga rumah makin mahal. Harganya sudah tak masuk akal,” katanya. – 26 Mac, 2018.