Iklan

PAS Terengganu masih pertimbang rayu pembatalan kemenangan kerusi KT

Diyana Ibrahima year ago4th Jul 2023Berita
Pas in terengganu wak 160318
Mahkamah Pilihan Raya pada Khamis lepas membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU15 selepas mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2023.
Iklan

PAS Terengganu masih mempertimbangkan untuk merayu keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan parti itu di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, kata sumber.

Sumber PAS Terengganu memberitahu The Malaysian Insight, kes itu tersebut hangat dibincangkan dengan satu pihak mahu kes itu tidak dirayu supaya pilihan raya kecil (PRK) dapat diadakan.

Hal itu menyebabkan pasukan peguam yang mewakili PAS dalam kes petisyen itu masih lagi belum memfailkan rayuan kerana perlu menunggu keputusan dari parti, katanya.

Kata sumber keputusan untuk memuktamadkan perlu rayuan difailkan atau PRK diadakan akan diputuskan dalam mesyuarat parti yang berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Perbincangan yang ada sekarang membawa pertembungan antara kumpulan yang mahu rayuan difailkan atau PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan dengan segera,” katanya.

Sumber berkata kumpulan yang mahu PAS negeri merayu keputusan itu memberi alasan ia langkah terbaik bagi membuktikan parti itu sama sekali tidak terkait dengan rasuah seperti disabitkan.

Kumpulan yang mahu PRK diadakan pula berhasrat demikian kerana bimbang dengan risiko kehilangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, kata sumber dengan syarat namanya tidak disebut,

“Ada banyak faktor yang sedang dalam pertimbangan termasuk jika parti membuat rayuan dan sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan masih lagi tidak berpihak kepada PAS.

“Dengan mengambil kira kemungkinan tempoh PRK akan diadakan selepas keputusan Mahkamah Rayuan itu nampaknya tidak akan memberi kelebihan dan akan merisikokan PAS.

“Terutama apabila PAS perlu berdepan dengan kekuatan sumber dan jentera dari kerajaan pusat yang sudah tentu akan memberi sepenuh tumpuan untuk memenangi kerusi Parlimen yang boleh mengukuhkan kedudukan mereka.

“Mengikut bacaan kita daripada keputusan PRK daripada sebelum ini banyak memihak kepada kerajaan pusat, jadi ini adalah salah satu kebimbangan PAS negeri,” katanya.

Tambah sumber itu keadaan akan sangat berbeza jika PRK diadakan segera dan disekalikan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jika PRK diadakan segera memang akan beri kelebihan kepada PAS kerana sentimen penyokongnya yang begitu marah dengan keputusan membatalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu.

“Jadi gelombang itu sudah ada, jika PRK diadakan dengan segera sudah tentu PAS akan meraih kemenangan besar berbanding jika PRK terpaksa dilewatkan kerana perlu memberi laluan kepada proses perundangan.

“Sentimen rakyat mungkin tidak akan sama dan paling dibimbangi ramai pengundi luar tidak akan balik mengundi,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya pada Khamis lepas membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU15 selepas mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Ia susulan petisyen yang difailkan oleh Umno Terengganu melalui Mohd Zubir Embong yang memohon kemenangan Ahmad Amzad dibatalkan.

Keputusan mahkamah itu perlu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 14 hari bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dikosongkan bagi memberi laluan kepada PRK.

Hakim Pilihan Raya Firruz Jaffriz juga pada hari sama membenarkan permohonan dari peguam responden untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu, peguam yang mewakili PAS , Wan Rohimi Wan Daud mengesahkan parti itu masih belum memfailkan rayuan bagi keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

“Rayuan masih belum difailkan,” katanya ringkas apabila ditanya mengenai perkara tersebut. – 4 Julai, 2023.

Iklan
Iklan