3 ahli Parlimen DAP digantung dari sidang Dewan Rakyat
Iklan
TIGA ahli Parlimen DAP hari ini digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama 10 hari ekoran kenyataan mereka menuntut Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia meletak jawatan.
Timbalan Speaker Ronald Kiandee berkata, tiga ahli Parlimen dari Perak itu digantung dari persidangan kerana permintaan mereka dianggap sebagai satu penghinaan terhadap Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen tersebut merupakan Nga Kor Ming (DAP - Taiping), V Sivakumar (DAP - Batu Gajah) dan Ngeh Koo ham (DAP – Beruas)
“Saya memerintahkan Beruas, Taiping dan Batu Gajah keluar dari majlis mesyuarat selama 10 hari bermula Isnin.
“Perbuatan dan kenyataan secara bersama yang dibuat oleh ketiga-tiga Ahli Parlimen ini merupakan penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai pengerusi dewan ini,” kata Ronald Kiandee.
Katanya, tindakan tiga ahli Parlimen tersebut juga merupakan perbuatan yang mencemar nama baik serta prestij Dewan berkenaan.
Beliau juga berkata, tindakan penggantungan itu dibuat mengikut Perkara 44 (2) dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Saya minta bentara untuk jalankan tanggungjawab,” katanya lagi.
Pada waktu itu dibuat pada pagi ini, hanya Sivakumar dan Nga berada dalam Dewan, yang kemudiannya diiringi keluar oleh Bentara.
Tiga ahli Dewan itu pada awal bulan ini menuntut Yang Dipertua Pandikar Amin Mulia meletak jawatan kerana menolak satu usul pembangkang untuk meminta penjelasan Perdana Menteri Najib Razak.
Pembangkang meminta Najib menjelaskan alasan untuk tidak menuntut kapal layar mewah Equanimity, yang dirampas pihak berkuasa Indonesia pada 28 Februari lalu dan diserah kepada penyiasat Amerika Syarikat.
Kapal layar bernilai RM1 bilion itu dimiliki Low Thaek Jho, seorang jutawan yang dikaitkan dengan kes penyelewengan dana dari syarikat pelaburan negara 1MDB. – 26 Mac, 2018.