DAP minta Dewan Rakyat tarik balik laporan kajian persempadanan semula
Iklan
AHLI Parlimen DAP, Charles Santiago menuntut agar Speaker Pandikar Amin Mulia menarik balik laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan ke Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Klang itu berkata, laporan itu mencabuli Perlembagaan Persekutuan kerana notis bantahan ke atasnya masih berlarutan di mahkamah.
Tegasnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga harus menunggu kes tersebut diputuskan oleh mahkamah sebelum laporan tersebut dimuktamadkan.
“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tempoh masa selama dua tahun untuk menghabiskan proses persempadanan semula (mengikut) Perkara 113 (2) (iii) (Perlembagaan Persekutuan).
“SPR telah mempamerkan notis bagi Syor 1 pada 15 September 2016. Jadi mereka masih lagi mempunyai masa sehingga 14 September 2018 untuk menyiapkan laporan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Charles berkata, mahkamah harus diberi peluang untuk membuat keputusan mengenai kes-kes yang berkaitan dengan persempadanan semula, sebelum laporan kajian tersebut dikemukakan secara sah kepada Perdana Menteri Najib Razak.
“Tingkah laku SPR, perdana menteri dan tuan speaker dalam mengemukakan laporan yang tidak lengkap tersebut, membentangkannya dan seterusnya mengemukakan draf perintah untuk melaksanakan syor-syornya, dan membernarkan kesemua ini dalam agenda Dewan Rakyat telah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Laporan tersebut tidak sepatutnya dikemukakan oleh SPR kepada perdana menteri, memandangkan siasatan tempatan di negeri Selangor belum diselesaikan,” katanya.
Khamis lalu, Pandikar memaklumkan Dewan Rakyat laporan berkenaan sudah diedarkan kepada semua ahli Parlimen hari tersebut tetapi tidak boleh disiarkan sehingga dibentangkan kerajaan minggu depan.
Dokumen yang diletakkan di atas meja ahli Parlimen ialah syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri bagi 2018 (ST27 tahun 2018) dan draf persempadanan bahagian pilihan raya (ST28 tahun 2018), katanya.
Namun, beliau mengubah pendiriannya bahawa dokumen yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen itu boleh dibawa keluar tetapi tidak boleh disiarkan setelah merujuk Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. – 26 Mac, 2018.