Iklan

Rekod prestasi Pakatan di Selangor jadi bukti, kata ketua pilihan raya

Noel Achariama year ago8th Jul 2023Berita
Rajiv rishyakaran bukit gasing interview 01
Ketua pilihan raya DAP negeri Rajiv Rishyakaran berkata jentera parti sudah diaktifkan sejak sekian lama sebagai persediaan menghadapi PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.
Iklan

REKOD prestasi Pakatan Harapan (PH) di Selangor menjadi bukti gabungan itu menunjukkan tadbir urus yang baik sejak 15 tahun lalu, kata ketua pilihan raya negeri DAP Rajiv Rishyakaran.

Beliau berkata prinsip PH terkandung dalam pengurusan negeri dan rakyatnya.

“Memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN boleh dicapai tetapi biarlah kita fokus kepada kerusi teras dan pastikan PH mengekalkan 41 kerusi yang kita menangi pada pilihan raya umum lalu.

“Kita perlu mendekati pengundi untuk memastikan kita dapat mewakili perkara yang menjadi kebimbangan mereka. Kami juga perlu memastikan semua kerusi ini selamat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Enam negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon jatuh pada 29 Julai.

Selangor mempunyai bilangan pengundi tertinggi iaitu 3.75 juta dan bilangan pengundi muda tertinggi berumur 18 hingga 20 tahun iaitu seramai 274,194 orang.

Rajiv berkata jentera DAP sudah diaktifkan sejak sekian lama sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“DAP mempunyai jawatankuasa pilihan raya lima orang, jadi siapa pun calon Selangor, DAP sudah bersedia.

“Tidak semua penyandang akan mengekalkan kerusi mereka kerana ada yang mengumumkan persaraan seperti dilaporkan, tetapi pasti ada beberapa muka baharu.”

Rajiv juga berkata mereka akan melibatkan diri secara agresif dengan belia di semua platform media sosial, jelajah mesra dan ceramah.

“Kami menjangkakan penglibatan media sosial yang kuat untuk mendekati belia dan lebih banyak jelajah mesra untuk melibatkan diri dengan belia.”

Tadbir urus yang bersih

Mengenai rekod prestasi mereka, Rajiv berkata Selangor adalah negeri pertama yang menginstitusikan tender terbuka.

“Kami juga memastikan kami mengutip royalti untuk perlombongan pasir. Hasil yang dikumpul serta penjimatan daripada tender terbuka membiayai banyak program untuk rakyat.

“Kami juga mempunyai kira-kira 40 program berorientasikan rakyat yang dijalankan, seperti untuk warga emas, mengenai kesihatan dan kesejahteraan serta lain-lain yang boleh dibiayai dengan inisiatif ini.

“Kami juga menunjukkan kepimpinan kaum yang baik di mana anda tidak akan mendapati mana-mana kaum ditindas.

“Kerajaan negeri juga membantu dalam memperuntukkan tanah untuk tempat ibadat di mana lebih 300 kuil diberikan tanah.”

Beliau menambah ia juga telah memberi bantuan kepada sekolah Tamil dan Cina.

“Jadi, kita menunjukkan kepimpinan dalam negara berbilang kaum. Ini adalah asas kepada lima tahun akan datang di Selangor.”

Rajiv juga berkata mereka menerbitkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), rancangan lima tahun yang memperincikan infrastruktur, isu sosial dan program lain yang akan diusahakan oleh negeri itu.

“RS-1 ialah rancangan jangka pendek dan jangka panjang kami, jadi manifesto kami pastinya sama.

“Ia merangkumi lebih 262 inisiatif dalam pelbagai sektor masyarakat daripada pertanian, infrastruktur, dan pembangunan sosial kepada tadbir urus dan lain-lain.” – 8 Julai, 2023.

Iklan
Iklan