Iklan

PAS harap PRK Kuala Terengganu serentak dengan PRN

Diyana Ibrahima year ago8th Jul 2023Berita
49933094286 fafa5feeb2 c
PAS mahu Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri pada Ogos depan, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.
Iklan

PAS berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

Katanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menetapkan sedemikian ekoran keputusan muktamad PAS untuk tidak merayu pembatalan kemenangannya di kerusi Kuala Terengganu dalam PRU15.

“Kita buat keputusan tidak merayu jadi pihak SPR boleh mengadakan PRK Kuala Terengganu serentak dengan PRN iaitu 12 Ogos ini.

“Kita harap begitulah. Kita yakin SPR saya yakin ada kecekapan untuk buat keputusan. Biarlah buat serentak pengundi sama senarai pendaftar yang sama dan jentera sama, cuma mengundi dua kali.”

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut menjelaskan keputusan PAS untuk tidak mahu meneruskan dengan rayuan kerana tempoh masa yang lama jika berbuat demikian.

Beliau berkata rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan akan mengambil masa enam bulan dan PAS tidak mahu mengabaikan pengundinya membiarkan kerusi itu kosong tanpa ahli Parlimen.

Selain itu katanya, keputusan itu dibuat juga selepas yakin bahawa penyandang, Ahmad Amzad Hashim masih boleh bertanding dalam PRK Kuala Terengganu.

Oleh itu beliau tidak menolak kemungkinan PAS akan tetap meletakkan calon yang sama dalam PRK kawasan itu.

“Kita mendapat pengesahan bahawa keputusan Mahkamah hanyalah sekadar membatalkan keputusan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

“Tapi calon yang dimenangi pada PRU15 boleh bertanding semula, kemungkinan calon yang sama.

“Sebab ikut perintah mahkamah tidak ada sekatan, tidak ada yang menghalang untuk letakkan calon yang sama,” katanya.

The Malaysian Insight melaporkan keputusan mahkamah minggu lalu yang membatalkan kemenangan PAS di kerusi itu menjadi pertikaian dalam PAS Terengganu.

Sebahagian daripada pemimpinnya mahu merayu kerana keputusan mahkamah tersebut menggambarkan PAS sebuah parti korup.

Keputusan diumumkan Takiyuddin pula memihak kepada satu lagi kumpulan dalam PAS Terengganu yang mahu PRK diadakan di Kuala Terengganu.

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Amzad Hashim di kerusi tersebut dalam PRU15 selepas mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Keputusan Hakim Firruz Jaffriz memihak kepada pempetisyen, Mohd Zubir Embong dari Umno yang memfailkan permohonan itu 3 Januari lalu.

Mohd Zubir memohon kemenangan Ahmad Amzad dibatalkan kerana ada “bukti jelas” daripada saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS. – 8 Julai, 2023.

Iklan
Iklan