Iklan

Muhyiddin nafi sokongan Perikatan makin merosot

Diyana Ibrahima year ago9th Jul 2023Berita
Perikatan nasional selangor election 09
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menafikan sokongan kepada gabungan itu semakin merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2023.
Iklan

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menangkis dakwaan sokongan diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin merosot.

Katanya, gelombang sokongan itu tidak pernah reda malah semakin meningkat dan akan memenangkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa PN sudah hilang sokongan daripada pengundi.

“Saya nak sebut bahawa sokongan PRU dulu terhadap PN masih ada bahkan makin meningkat. Rafizi menteri formula kata, sokongan PN ini dah tepu. Sokongan tidak menaik lepas PRU15.

“Tapi siapa dia untuk kata begitu. Apa asas dan bukti untuk dakwaan dia,” katanya ketika berucap dalam ceramah Himpunan Teguh Pertahan di Terengganu.

Minggu lepas, Rafizi menolak dakwaan terdapat gelombang peralihan undi dan sokongan kepada PN PRN.

Menteri ekonomi itu berkata kenyataan itu berpandukan daripada data awal kajian sehingga Jun lepas yang menunjukkan sokongan kepada PN semakin reda.

Rafizi juga menjangka persaingan sengit akan berlaku di Kedah dan Kelantan, dan PH juga akan menang selesa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Namun pemimpin itu tidak memperincikan dengan lebih lanjut data tersebut sebaliknya berkata akan mendedahkan kajian itu dalam masa terdekat.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendakwa kenyataan Rafizi membuktikan PH takut dengan kekuatan yang ada PN.

Ini terutama apabila pencapaian kerajaan hari ini tidak memuaskan hati rakyat.

Oleh itu beliau mengulangi sekali lagi pentingnya PN memenangi dalam enam negeri pada PRN kali ini.

“Kalau tak semua enam negeri dapat menang lima negeri pun, saya yakin PN boleh gegarkan kerajaan Anwar.

“Ini memberi petanda kerajaan hari ini tak akan bertahan, akan jadi kerajaan yang gagal dan kerajaan ini akan tumbang,” katanya.

Gelombang sokongan PN itu merujuk kepada kejayaannya menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan menguasai banyak kerusi majoriti Melayu.

Secara keseluruhannya, PN menang 73 kerusi dengan 43 didominasi PAS dan 30 kerusi disumbang Bersatu.

Kemenangan di Kuala Terengganu bagaimanapun dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya pada minggu lalu yang mendapati PN melakukan rasuah ke atas pengundi sewaktu PRU15. – 9 Julai, 2023.

Iklan
Iklan