Iklan

Dakwaan skandal rasuah terhadap MB Johor tak berasas, kata Paul Low

Yasmin Ramlan7 years ago26th Mar 2018Berita
Paul low tmikamal 02 (1)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Pau Low berkata siasatan SPRM mendapati tiada bukti yang menyokong dakwaan terhadap Khaled.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018.
Iklan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Pau Low berkata dakwaan rasuah terhadap Menteri Besar Johor Khaled Nordin berhubung penukaran status lot perumahan Bumiputera kepada bukan Bumiputera adalah tidak berasas.

Low berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada sebarang bukti untuk menyokong dakwaan terhadap Khaled.

“SPRM telah menyiasat maklumat yang diterima terhadap Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin, namun mendapati maklumat tersebut tidak berasas,” katanya melalui jawapan balas terhadap soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua di Parlimen, hari ini. 

Pua meminta Perdana Menteri Najib Razak menyatakan sama ada SPRM telah menjalankan siasatan ke atas laporan rasuah yang mengaitkan Khaled serta status siasatan tersebut.

Skandal hartanah yang timbul pada Mac tahun lalu itu turut melibatkan bekas exco kerajaan negeri Johor, Abd Latif Bandi.

Tuduhan terhadap Khaled pertama kali dibangkitkan oleh Adun DAP Senai Wong Shu Qi sama ada Khaled menerima wang sejumlah RM12 juta berhubung penukaran status tanah terbabit. 

Shu Qi berkata maklumat ini diperolehi dari sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM berkenaan skandal tersebut. – 26 Mac, 2018.

Iklan
Iklan