RUU Antiberita Tidak Benar akan wujudkan ketakutan, kata pengkritik
Iklan
CUBAAN Putrajaya untuk wujudkan undang-undang bagi membanteras berita palsu akan mewujudkan ketakutan, kata pengkritik yang turut menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar yang dibentangkan di Parlimen hari ini merupakan ancaman terbesar terhadap demokrasi.
Pengarah Centre for Independent Journalism (CiJ) Sonia Randhawa berkata rang undang-undang itu jelas merupakan cubaan untuk menghalang ucapan politik, perbincangan serta penyelidikan dan laporan penyiasatan.
“Dalam perbandingan kepada eksekutif dan kerajaan, akhbar semakin lemah dan kurang mendapat akses kepada maklumat, terutamanya dengan kehadiran Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Apabila akhbar menyiarkan maklumat yang merupakan kepentingan awam, apakah jaminan mereka tidak akan dikenakan hukuman di bawah akta ini,” soalnya.
Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan Putrajaya hari ini mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi mereka yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu.
RUU itu juga mentakrifkan “berita palsu” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.
Penerbit yang menerbitkan “berita palsu” juga akan dikenakan sehingga RM100,000 bagi kesalahan itu dan RM300,000 lagi bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
RUU ini mentakrifkan penerbitan sebagai “apa-apa penerbitan bertulis atau penerbitan yang sifatnya serupa dengan apa-apa penerbitan bertulis, dan tiap-tiap salinan dan penghasilan semula atau penghasilan semula substansial penerbitan itu.”
RUU itu bertujuan memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menentukan berita palsu, kerana ia membenarkan “mana-mana orang yang terjejas oleh penerbitan yang mengandungi berita palsu” memohon kepada mahkamah untuk menghapuskan artikel tersebut.
Sonia berkata RUU itu tidak menyatakan dengan jelas “standard bukti” yang menjadi berita palsu.
“Nampaknya terpulang kepada hakim sama ada orang tahu terlebih dahulu jika berita itu palsu atau tidak,” katanya.
Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Chin Sung Chew turut menyatakan kebimbangan bahawa cadangan RUU itu akan memberi kerajaan “kuasa yang tidak boleh dipertikaikan untuk menarik semula artikel yang tidak dipersetujuinya”.
Chin, bersama penasihat Suaram Kua Kia Soong berkata, sudah terdapat peruntukan yang sama dalam Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan dengan kandungan dalam talian.
“Dalam usaha untuk menggalakkan sistem demokrasi yang sihat dan lebih terbuka, adalah menjadi peranan kerajaan untuk mewujudkan ruang yang mengalakkan celik berita dan kewartawanan penyiasatan profesional,” kata Kua.
“Hanya apabila industri berita memberikan apa yang kita lihat sebagai kewartawanan bebas, profesional dan berkualiti tinggi yang membolehkan kita membina kepercayaan umum dan memperbetulkan berita palsu dan maklumat yang salah,” katanya.
Aktivis kebebasan media Gayathry Venkiteswaran berkata, perkongsian kandungan yang meragukan atau tidak sah harus dilakukan melalui “pengawalan diri dan menggalakkan orang ramai untuk perbualan dan perbahasan yang lebih sihat dalam talian”, dan bukan melalui undang-undang yang menghalang kebebasan bersuara.
Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran, yang juga merupakan seorang peguam, menyelar RUU ini sebagai sewenangnya, penindasan dan tidak berperlembagaan, dan menambah masyarakat umum tidak akan dapat mengamalkan hak kebebasan bersuara mereka ” dengan ancaman penahanan berterusan dan pendakwaan terhadap mereka”.
“Ia akan membawa kepada demokrasi dalam negara ini lumpuh dan kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.
“Wacana awam yang sihat dan terbuka akan berakhir.”
Surendran juga berkata bahawa RUU itu telah melanggar sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.
“Mana-mana undang-undang yang melampaui batas sekatan terhadap kebebasan bersuara yang dibenarkan dalam Perkara 10 (2) (a) bukan undang-undang yang sah.
“Oleh itu, boleh dikatakan bahawa undang-undang Antiberita Tidak Benar itu sendiri adalah undang-undang palsu, dan melanggar undang-undang,” katanya, menyeru kerajaan untuk menarik balik RUU itu secara keseluruhannya. – 26 Mac, 2018.