Pengeluaran KWSP perlu fleksibel, kata pakar
Iklan
PENASIHAT kewangan mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan alternatif selain cadangan pengeluaran bulanan mandatori apabila pekerja mencecah usia persaraan 55 tahun.
Mereka membantah cadangan tersebut walaupun ia bertujuan untuk ahli KWSP menguruskan wang persaraan dengan lebih baik, kerana ketika ini mereka boleh membuat pengeluaran penuh atau sebanyak mana yang mereka kehendaki.
Penasihat kewangan ini mengulas cadangan KWSP untuk mewajibkan pesara membuat pengeluaran berkala atau bulanan apabila mereka mencapai usia 55 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan pada 5 Julai dilaporkan berkata kaedah itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan demi lebih baik demi kepentingan masa depan mereka.
Beliau juga berkata pengeluaran berkala atau secara bulanan itu turut memberi peluang kepada pesara terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada minggu lepas berkata kerajaan sedang memuktamadkan butiran berhubung cadangan tersebut.
Kemudian dua hari lalu, KWSP dalam satu kenyataan berkata cadangan pengeluaran bulanan mandatori bagi pekerja yang mencapai umur 55 dan 60 tahun hanya melibatkan ahli-ahli baru yang lahir pada atau selepas 2010.
Tiada rancangan untuk meminda kaedah ketika ini iaitu membenarkan pengeluaran penuh untuk ahli yang mencapai umur 55 dan 60, katanya.
KWSP selain itu bercadang untuk memperkenalkan Akaun 3 yang akan berfungsi seperti akaun simpanan dan ahli boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa.
Isnin lalu, Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein dilapor media berkata Akaun 3 dirancang untuk diperkenalkan bagi pencarum baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Cadangan memperkenalkan akaun itu juga adalah untuk memenuhi potensi keperluan tunai kecemasan ahli, kata beliau.
“Akaun 3 akan berfungsi seperti akaun simpanan. Ia adalah untuk memenuhi potensi keperluan tunai kecemasan ahli,” katanya dipetik media pada taklimat khas KWSP secara maya.
Perancang Kewangan Kumpulan Max Wealth Nicholas Chu memberitahu The Malaysian Insight cadangan pengeluaran bulanan mandatori itu berniat baik bagi mengelakkan pesara mengalami masalah kewangan pada masa akan datang.
Beliau berkata mengikut data yang dikeluarkan oleh KWSP, ramai ahli membelanjakan semua dana persaraan dalam tempoh singkat.
“Ada ahli berpandangan selepas begitu lama bekerja wang itu boleh digunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Jadi, adakah kerajaan mahu tutup peluang mereka?
“Saya berpendapat KWSP sepatutnya memberi ahli pilihan mengenai cara menguruskan wang persaraan mereka walaupun data menunjukkan ramai yang gagal mengurus dengan baik.
“Data itu juga menggambarkan ramai rakyat kita tidak celik menguruskan duit,” katanya.
Susulan itu penting bagi KWSP menyediakan mekanisme bagi melindungi ahli yang kurang mahir dalam pengurusan kewangan, tambah Chu.
“Langkah ini bertujuan untuk mendidik ahli bagaimana untuk merancang persaraan dengan lebih baik.” – 13 Julai 2023.