Cadangan sempadan semula pilihan raya beri kelebihan pada BN
Iklan
CADANGAN persempadanan semula, yang akan dibentangkan pada Rabu, dijangka akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional, kata penganalisis pilihan raya pada sebuah forum malam ini.
“Kumpulan pengundi mengikut kaum akan beri kelebihan kepada Umno sebagai tulang belakang BN,” kata pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar.
Beliau memberikan kerusi Parlimen Lumut sebagai contoh, dan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengeluarkan kerusi negeri Sitiawan daripadanya.
PKR memenangi kerusi Lumut walaupun terdapat lebih 10,000 pengundi awal dari pangkalan tentera laut Lumut.
“Jumlah undi di Sitiawan menampung defisit,” kata Hisommudin
“Namun kami diberitahu kerusi negeri Sitiawan akan dikeluarkan daripada Lumut dalam cadangan persempadanan semula. Sekiranya itu berlaku, Pakatan Harapan tiada harapan untuk menang kerusi ini,”
Pada pilihan raya lalu, Lumut mempunyai tiga kerusi negeri - Pasir Panjang, Pangkor dan Sitiawan. Calon PKR Mohamad Imran Abdul Hamid menewaskan calon MCA-BN Kong Cho Ha dengan 40,308 undi berbanding 32,140
Sekiranya Sitiawan dikeluarkan, penyandang kerusi terbabit akan berdepan tekanan untuk membawa perubahan, kata Hisommudin.
Katanya, alasan yang diberikan oleh SPR berhubung persempadanan semula itu juga keterlaluan.
“Bagaimana SPR boleh kata ia mahu keluarkan Sitiawan untuk kurangkan isu pentadbiran kerajaan tempatan sedangkan ia di kawasan yang sama?”
Menurutnya, ia sama dengan kerusi Parlimen Sembrong di mana pusat mengundi Felda ditukarkan ke kerusi negeri Paloh selepas DAP kalah tipis dengan 103 undi pada PRU13.
“Tetapi saya difahamkan cadangan itu menyasarkan untuk mengambil Felda Kahang Barat dan dimasukkan ke Paloh. Terdapat lebih 2,000 pengundi di sana dan kesemua mereka adalah pengundi Melayu. Ia menjadikan DAP lebih sukar untuk memang di Paloh,” tambahnya.
Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata, amat keterlaluan untuk SPR menangguhkan cadangan itu selepas membentangkannya di Parlimen.
“Penagguhan itu tidak berasas. Institusi seperti SPR wujud untuk melindungi kepentingan pengundi bukan parti politik. Sekiranya mereka di sana untuk melakukannya mengapa tidak dedahkan laporan ahir kepada semua pihak,” kata peguam dan bekas pengerusi Bersih 2.0 itu.
Forum anjuran Bersih 2.0 yang turut mengetengahkan ahli panel termasuk pemangku pengerusinya Sharul Aman Mohd Saari dan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming. – 26 Mac, 2018.