Iklan

Tiada masalah tanding PRN walau akaun disita, kata Bersatu

Diyana Ibrahima year ago17th Jul 2023Berita
Muhyiddin bersatu assembly 4th tmi 03
Parti Bersatu merasakan mereka tidak berdepan masalah untuk berkempen pada pilihan raya negeri akan datang walaupun akaun parti itu disita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2023.
Iklan

PERSIAPAN Bersatu untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos ini tidak terjejas biarpun akaun parti itu disita agensi antirasuah, kata pemimpin parti itu.

Ketua penerangannya, Razali Idris berkata tindakan itu tidak memberi masalah dan Bersatu akan menghadapi PRN dengan sumbangan daripada orang ramai, NGO dan bantuan PAS.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, sumbangan itu bukan berbentuk dana atau duit tetapi pemberian barangan yang diperlukan untuk berkempen.

“Kita tak nampak ada masalah besar biarpun akuan Bersatu disita dan kita pun tidak dibenarkan untuk buka akaun.

“Jadi selepas ini siapa nak bagi sumbangan kena bagi di lapangan maksudnya dia beli apa-apa barang (untuk) kita untuk berkempen. Kira itu macam sedekah kepada kita,” katanya.

Razali juga berkata Bersatu juga cukup bertuah kerana PAS juga berjanji akan menghulurkan bantuan dari segi gerak kerja kepada mereka sepanjang tempoh PRN.

“Macam calon mereka terpaksa cari dana sendirilah sebenarnya dari dulu pun memang kebiasaan calon akan dari dana sendiri tidak mengharapkan 100% kepada parti.

“Kita pun mengambil langkah berjimat cermat dengan menggunakan semula barang lama seperti bendera, kita masih simpan barang itu dan dijaga elok.

“Tidak seperti Umno. Kalau barang mereka memang suka pakai buang. Walaupun kita tidak berpeluru tapi kita akan berperang dengan ala kadar secara demokrasi di negara kita,” katanya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat bagi parti Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2023.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun bank Bersatu selepas membekukannya sejak Januari ekoran pendakwaan terhadap presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin didakwa dengan empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Sitaan dibuat mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Muhyiddin didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat bagi parti Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok A, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 8 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut didakwa menerima hasil haram RM195 juta. Perdana menteri kelapan itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan dan menyifatkannya sebagai pendakwaan terpilih.

Mengulas lanjut, Razali berkata cabaran dan tekanan yang dihadapi Bersatu ketika ini tidak pernah melunturkan semangat ahlinya malah semakin kuat dalam  perjuangan mereka.

Pada masa sama, sokongan kaum bukan Melayu juga semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN ini, katanya.

Beliau berkata sokongan itu semakin ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini menerusi kehadiran di ceramah anjuran PN.

“Kita nampak ada sedikit kenaikan sokongan pengundi bukan Melayu ini. Apabila kita buat ceramah mesti ada sambutan daripada mereka.

“Contoh bila kita buat ceramah di Negeri Sembilan baru-baru ini.Kita dapati ada kehadiran daripada kaum Cina dan India mereka dengar dan bertepuk tangan dengar ceramah kita.

“Jadi itulah bacaan sikap kita dapat menunjukkan PN sudah mula mendapat sokongan  pengundi bukan Melayu,” katanya.

Ahli Bersatu percaya kes mahkamah berkaitan pemimpin mereka adalah pendakwaan balas dendam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2023.

Razali berkata berdasarkan bacaan sikap itu, PN yakin akan dapat menembusi undi kaum bukan Melayu sekurang-kurangnya 20% di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam PRN.

Katanya, ia turut membuktikan bahawa PN parti yang rasis tidak mesra bukan Melayu hanyalah sekadar persepsi jahat yang dicipta Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau antara lain membangkitkan satu kenyataan kontroversi Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengenai tindakan PAS menguruskan rumah ibadat bukan Islam di Kedah.

Kenyataan tersebut menyebabkan Lim berdepan siasatan polis pada waktu ini.

“Jangan lupa negeri PAS sendiri ada patung tokong terbesar berpuluh-puluh tahun tak ada siapa  kacau malah diberi peruntukan untuk pelihara.

“Sama juga dengan Kedah ada tokong Hindu paling besar langsung tidak ada ganggu gugat pun,” kata Razali yang percaya dakwaan bahawa Bersatu parti rasis tidak berjaya.

Tambahnya Bersatu juga mempunyai ahli bersekutu bukan Islam dan PAS juga mempunyai sayap penyokong bukan Islam.

“Jadi macam mana kata kami rasis. Yang rasis itu Umno dan DAP yang sentuh hak orang Melayu.

“Dan kita memang sudah tentu akan bercakap dan mengangkat isu Melayu sebab itu teras parti perjuangan kita, tapi kita tak khianat kaum lain,” katanya. – 17 Julai, 2023.

Iklan
Iklan